Smart Investor Malaysia

Previous
Next

Kenapa Kita Perlu Rancang Persaraan?

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Perkataan persaraan adalah merujuk kepada berhenti melakukan kerja aktif dalam kehidupan. Namun dalam dunia serba moden hari ini, konsep rancang persaraan sering dipandang sepi dan seolah-olah tak penting.

Persaraan yang bermakna adalah di mana seseorang itu mampu untuk menghadapinya tanpa perlu risau tentang kewangan. Barulah anda boleh berehat dan menikmati kerja keras anda selama ini.

Walaubagaimanapun, persaraan yang ideal tidak berlaku sekelip mata. Sama seperti membina otot yang kuat memerlukan latihan yang konsisten, prinsip yang sama juga terlibat dalam persaraan. Apabila kita ingin bangunkan otot kewangan yang kuat, kita perlu melakukan usaha yang berterusan untuk satu tempoh jangka masa yang panjang.

Sekiranya merancang untuk bersara adalah mudah, kenapa tak ramai yang melakukannya?

Perancangan Kewangan: Titik Mula Untuk Rancang Persaraan

Kesilapan terbesar seseorang dalam perancangan kewangan adalah dengan merasakan bahawa kita tidak perlu rancang persaraan mereka. Secara umumnya, orang ramai merasakan bahawa perancangan kewangan adalah untuk mereka yang kaya-raya saja.

Sedangkan rancang persaraan diperlukan oleh semua orang, tidak kira tua muda atau miskin kaya. Pelan kewangan yang lengkap akan memberikan kita kejelasan mengenai situasi kewangan semasa dan membolehkan kita mengenalpasti kekurangan yang ada, dan berusaha untuk mencapai sasaran kewangan.

Masa Takkan Tunggu Kita

Ada pelbagai alasan yang diberikan berkenaan tidak merancang kewangan dengan baik, dengan alasan paling biasa didengari “Saya terlalu sibuk dan tiada masa!”

Saya pasti kebanyakan daripada kita menghabiskan masa melakukan kerja yang tidak produktif seperti banyak masa dibazirkan di media sosial atau menonton terlalu banyak televisyen. Tetapi bukankah ianya merugikan kita sendiri apabila kita tidak merancang untuk masa depan kerana kesuntukan masa?

Sekiranya kita membiarkan saja persaraan untuk terjadi dengan sendirinya, kita berisiko wang kita akan habis sebelum nyawa kita yang habis! Adakah kita nak hidup di usia emas dengan berjimat cermat setiap masa?

Lebih Cepat, Lebih Bagus

Masa untuk anda berpijak di bumi yang nyata dan usah biarkan alasan menghalang anda. Sekiranya anda berusia pertengahan 20-an, ianya merupakan masa terbaik kerana usia yang muda akan beri banyak manfaat berganda. Sekiranya anda berusia 30-an, ianya lebih kritikal untuk mulakan perancangan persaraan dengan kadar segera.

Sebaik saja anda mencecah usia 40 tahun, anda perlu bekerja lebih keras untuk mencapai sasaran persaraan dan semakin mencabar untuk melaksanakannya ketika berusia 50 tahun.

Mula dengan mengira perbelanjaan peribadi untuk mengenalpasti ke mana duit anda dihabiskan sebelum anda mempunyai kawalan yang lebih ketat ke atas kewangan anda. Bak kata pepatah, “Sekiranya kita tak urus wang, wang yang akan mengurus kita”.

Generasi Sandwic

Dilema yang dihadapi kebanyakan rakyat Malaysia adalah ibubapa yang mempertaruhkan persaraan mereka demi masa depan pendidikan anak-anak, sementara itu terpaksa pula menjaga orang tua mereka. Ini merupakan kitaran kewangan yang tidak sihat, menyebabkan ramai yang berdepan dengan risiko persaraan yang tertekan.

Generasi muda sendiri berdepan dengan pelbagai bebanan disebabkan komitmen tinggi disebabkan oleh kos sara hidup yang tinggi dan tahap hutang yang menggunung.

Mindset perlu berubah bahawa ibubapa yang semakin berusia tidak meletakkan harapan kewangan yang tinggi ke atas anak-anak mereka. Pada masa yang sama, anak muda perlu lebih celik kewangan dan merancang duit mereka dengan lebih baik.

Dapatkan Bantuan Untuk Rancangan Persaraan

Sekiranya sesuatu masalah itu terlalu berat untuk diselesaikan seorang diri, ianya merupakan idea yang baik untuk meminta pertolongan. Ramai orang sibuk dengan kerja hakiki sehinggakan tak mampu untuk uruskan kewangan peribadi dan merancang secara serius tentang persaraan.

Sebenarnya bantuan sentiasa ada di dalam bentuk nasihat profesional dan bimbingan yang betul untuk mencapai sasaran kewangan anda. Semua orang ada kelebihan dan kemahiran sendiri, anda perlu fokus terhadap kepakaran anda untuk memperolehi pendapatan aktif di samping menggunakan khidmat perancang kewangan untuk mengembangkan kekayaan anda.

Sebelum ini, perancangan kewangan adalah sesuatu yang janggal dan orang ramai jarang berfikir mengenainya. Tetapi hari ini kita tidak mampu untuk berdiam diri sedangkan dunia bergerak dengan amat laju, dan mengambil pendekatan yang pasif adalah merugikan.

Masih belum terlambat untuk mempunyai rancangan yang kukuh dan pandangan yang jelas tentang bagaimana untuk berusaha dengan strategi yang betul.

Satu langkah kecil ke arah persaraan, satu langkah besar ke arah kebebasan kewangan.

Mengenai Penulis

Chan Li Yun merupakan seorang Perancang Kewangan berlesen dengan Finwealth Management Sdn Bhd dan ingin membantu orang ramai untuk meningkatkan taraf hidup dengan perancangan kekayaan yang betul. Beliau boleh dihubungi di liyun@finwealth.com.my.

Kami di Smart Investor dan Finwealth komited untuk bantu anda mengurus kewangan dengan lebih baik. Dapatkan sesi rundingan daripada seorang pakar secara percuma, dengan mengisi butiran anda di sini: https://www.smartinvestor.com.my/SIxFinwealth

Join our Telegram to get the latest from Smart Investor
Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Recent Posts

Related Posts

Smart Investor Newsletter

Get Our Latest Articles And More Delivered To Your Inbox!