Smart Investor Malaysia

Previous
Next

Takaful vs Insurans, Apakah Perbezaannya?

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Ramai yang masih beranggapan bahawa Takaful adalah versi Islamik bagi insurans konvensional, dan ianya hanyalah untuk mereka yang beragama Islam. Namun, ini adalah tidak tepat.

Sedangkan Takaful menawarkan perlindungan yang serupa dengan insurans, dan ianya terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira agama. Nak tahu lebih lanjut mengenai apakah perbezaan Takaful vs insurans?

Apa Itu Takaful?

takaful insurance

Pada asasnya, Takaful adalah pilihan insurans yang patuh Syariah yang berlandaskan kepada prinsip Muamalat Islam. Takaful berkongsi objektif yang sama iaitu menawarkan perlindungan terhadap kerugian kewangan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti kemalangan, kerosakan terhadap hartanah, kemasukan ke hospital, penyakit kritikal, kehilangan upaya atau kematian.

Perkataan Takaful adalah berasal daripada perkataan Arab iaitu ‘Kafala’ yang bermaksud ‘untuk menjamin, untuk bantu, untuk menjaga keperluan seseorang’. Terma ini juga merujuk kepada konsep insurans Islamik yang berdasarkan prinsip Islam iaitu saling bantu-membantu (ta’awun) dan derma (tabarru’), di mana peserta Takaful menderma wang mereka ke dalam dana Takaful yang akan digunakan untuk memberi manfaat kewangan secara bersama-sama.

Sama seperti insurans, ada pelbagai produk patuh Syariah di bawah Takaful termasuklah keluarga, kesihatan, kenderaan, rumah, perjalanan dan macam-macam lagi jenis perlindungan.

Walaupun Takaful vs insurans nampak banyak persamaan, syarikat Takaful akan memastikan produk dan operasi mereka adalah berlandaskan prinsip Syariah. Perbezaan ketara adalah kontrak yang mendasari perhubungan di antara pengendali Takaful dan pelangan.

Takaful vs Insurans

Sebuah kontrak insurans biasanya melibatkan pembelian sesuatu produk atau servis daripada syarikat insurans di mana risiko insurans dipindahkan kepada syarikat insurans.

Manakala bagi kontrak Takaful pula, pelanggan memeterai kontrak (aqad) untuk menjadi salah seorang peserta dengan mempersetujui sumbangan (tabarru’) bagi menyertai dana risiko Takaful bagi pembayaran tuntutan sekiranya mana-mana peserta mengalami kerugian, dan melantik pengendali Takaful untuk mengurus dana Takafu tersebut.

Satu ciri penting Takaful adalah dana risiko Takaful dimiliki oleh peserta, maka risiko dikongsi bersama dan sebarang lebihan akan dikembalikan ke dalam dana atau dalam sesetengah kes, diagihkan kepada para peserta. Pengendali Takaful juga berhak sebahagian daripada lebihan dana Takaful.

Pengendali Takaful mendapat keuntungan sebahagian besarnya menerusi yuran wakalah (agensi). Jumlah tabarru’ dan yuran wakalah ada dimaklumkan dalam sijil kontrak, yang menjadikan ianya telus kepada pelanggan.

Oleh yang demikian, dana Takaful diurus berdasarkan landasan Syariah, dan dilaburkan ke dalam aset patuh Syariah, dengan jawatankuasa Syariah memantau aktiviti-aktiviti pengendali Takaful bagi memastikan kesemuanya adalah patuh Syariah.

Takaful Di Malaysia

Mengambil kira kadar pengambilan Takaful yang rendah, kenaikan kos sara hidup, peningkatan kos perubatan dan populasi yang semakin tua, kelihatan sektor Takaful mempunyai kadar pertumbuhan yang dijangka positif.

Perkembangan industri Takaful juga dijangka naik sejajar dengan inisiatif kerajaan untuk meningkatkan permintaan untuk perlindungan di kalangan orang ramai.

Komponen utama pertumbuhan adalah persekitaran yang kompetitif terutamanya di kala pandemik melanda, adalah pendigitalan. Oleh itu, pengendali Takaful akan terus mendigitalkan model perniagaan dan pemasaran mereka untuk kekal kompetitif di dalam pasaran.

Di dalam industri Takaful di Malaysia ini, pengendali Takaful akan terus berusaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai berkenaan Takaful dan menyediakan pelan perlindungan yang sesuai dengan setiap lapisan masyarakat bagi meningkatkan kadar pengambilan Takaful.

Inisiatif ini termasuklah pengukuhan tahap profesionalisme di kalangan ejen Takaful serta menambahbaik program kesedaran kepada pengguna.

Walaupun berdepan dengan keadaan yang tidak menentu, industri Takaful di Malaysia dijangka kekal utuh. Pihak pengawal selia bersama-sama dengan pemain industri, akan terus memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi mempromosikan lagi sektor Takaful.

Diharapkan anda tidak lagi keliru apabila membincangkan topik Takaful vs insurans ini.

Jemput baca juga:

Join our Telegram to get the latest from Smart Investor
Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Recent Posts

Related Posts

Smart Investor Newsletter

Get Our Latest Articles And More Delivered To Your Inbox!

Are you sure want to unlock this post?
Unlock left : 0
Are you sure want to cancel subscription?