Smart Investor Malaysia

Previous
Next

Takaful: Di Antara Kemampuan Dan Keperluan, 6 Perkara Yang Perlu Dipertimbangkan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Alhamdulillah, semakin ramai rakyat Malaysia yang celik dengan kepentingan perlindungan Takaful. Ramai anak muda yang telah mulakan perjalanan perancangan kewangan mereka dengan mengambil pelan Takaful keluarga yang asas. Ianya sesuatu yang harus dipuji kerana menampakkan kesungguhan mereka.

Namun soalan yang lebih serius pula muncul iaitu berapa sebenarnya yang anda mampu dan perlu bayar?

Sebelum kita pergi lebih jauh, fahamkan dulu beberapa jenis perlindungan Takaful bagi seseorang individu.

1. Kematian

Yang paling asas sekali adalah kematian. Objektifnya di sini adalah untuk memastikan keperluan kewangan waris dan ahli keluarga akan dapat ditanggung sekiranya berlaku kematian mengejut pencari nafkah utama. Mati tak kenal usia, ada yang meninggal dunia dengan mempunyai anak-anak yang masih bersekolah.

Dengan adanya sedikit pampasan, bolehlah isteri meneruskan kehidupan dan anak-anak meneruskan pelajaran sehingga ke menara gading dengan duit yang ditinggalkan.

2. Hilang Upaya Kekal

Kedua kita perlu melindungi daripada keadaan tidak mampu bekerja untuk menyara keluarga apabila telah lumpuh atau hilang upaya kekal.

Dalam senario ini, sejumlah dana diperlukan untuk menggantikan pendapatan daripada pekerjaan pencari nafkah di samping sebarang perbelanjaan tambahan yang wujud disebabkan masalah kehilangan upaya kekal tersebut.

3. Penyakit Kritikal

Seterusnya kita ada penyakit kritikal di mana sejumlah wang akan dibayar sekiranya penyakit kritikal tersebut dijumpai. Duit tersebut boleh digunakan untuk membayar perbelanjaan perubatan dan kos sara hidup yang meningkat.

Elakkan daripada sudah jatuh ditimpa tangga, sakit badan sudah, nanti sakit poket pula nak menanggung kos yang tinggi.

4. Kad Perubatan

Kita semua sedia maklum bahawa inflasi perubatan meningkat naik dengan sangat tinggi. Jangka hayat kita pun semakin meningkat, maka perlindungan dalam bentun kad perubatan sangat penting.

Ianya dapat melindungi kita daripada sebarang risiko kemalangan atau penyakit seperti influenza mahupun denggi yang bermusim. Apabila terpaksa tinggal di hospital beberapa hari, kos rawatan tersebut akan ditanggung oleh syarikat Takaful.

5. Kemalangan Diri

Terakhir sekali, kita perlu perlindungan daripada sebarang kemalangan yang boleh menimpa kita pada bila-bila masa dan di mana saja. Kita sering keluar rumah untuk pergi ke tempat kerja, ada orang yang memang pekerjaannya memerlukan sentiasa berada di atas jalanraya.

Dengan adanya perlindungan kemalangan diri ini, ianya dapat membantu untuk menanggung bayaran untuk yang berkaitan dengan kemalangan.

Nampak seperti kelima-lima pun penting, jadi mana satu yang perlu kita utamakan dan berapa pula bajet yang harus disediakan?

Jom kita tengok pula 6 perkara yang perlu dipertimbangkan seperti berikut:

1. Pendapatan Keluarga

Ianya merujuk kepada jumlah wang yang diperlukan untuk menyediakan perbelanjaan yang cukup kepada waris, sepertimana mereka bergantung kepada pencari nafkah selama ini. Wang tersebut perlu meliputi perbelanjaan untuk seluruh keluarga (sebaiknya sehingga anak bongsu mencapai umur 25 tahun atau pasangan yang tidak bekerja sehingga jangka hayatnya), yuran pendidikan dan kos-kos lain sehingga ke pengajian tinggi dan perlindungan Takaful untuk ahli keluarga.

Ianya termasuk juga khairat kematian dan kos-kos pentadbiran harta pusaka untuk si mati.

2. Penggantian Pendapatan

Penggantian pendapatan adalah keperluan apabila kita tidak mampu lagi bekerja disebabkan kehilangan upaya kekal dan dikira berdasarkan perbelanjaan setahun bagi perbelanjaan biasa. Sebaiknya pengiraan dibuat daripada sekarang sehingga jangka hayat seseorang.

Bagaimanapun, ini mungkin agak mencabar bagi sesetengah orang terutamanya yang baru bekerja, maka perlu ada perlindungan sekurang-kurangnya lima tahun pendapatan atau sehingga tempoh persaraan.

3. Penyelesaian Hutang

Beban hutang memang sesuatu yang sukar untuk dielakkan. Daripada hutang pembelajaran sejak dari usia yang muda, kemudian hutang kereta, kemudian hutang beli rumah pula, jumlahnya boleh mencecah jutaan ringgit.

Ada yang merasakan lebih baik hartanah dijual untuk melangsaikan hutang, tetapi ada pula yang ingin memindahkan hak milik aset tersebut kepada waris tanpa sebarang hutang.

Sekiranya anda memilih untuk menghadiahkan rumah bebas hutang kepada orang yang tersayang, maka anda perlu memastikan anda mempunyai wang yang cukup untuk melangsaikan hutang dan juga wang untuk mereka meneruskan kehidupan.

Anda ada pilihan untuk melindungi diri anda dengan menggunakan produk yang lebih murah, atau ada juga yang mengambil MRTT atau MLTT untuk tujuan ini.

4. Penyakit Kritikal

Sekiranya anda menghidapi penyakit kritikal, anda mungkin perlu berhenti kerja sementara bagi mendapatkan rawatan dan berehat selepas pulih daripada penyakit tersebut. Sudah pasti anda memerlukan dana untuk menyara kos sara hidup sepanjang tempoh ini.

Biasa kita dengar, sekurang-kurangnya perlu ada 3-5 tahun perlindungan ke atas pendapatan tahunan.

5. Perbelanjaan Perubatan

Seperti yang dimaklumkan, kos perubatan terutamanya bagi hospital swasta meningkat dengan sangat tinggi setiap tahun. Walaupun kita boleh bergantung kepada hospital kerajaan untuk rawayan, tetapi adalah lebih baik kita ada alternatif. Ada juga yang merasakan syarikat mereka telah menyediakan perlindungan perubatan yang komprehensif, maka tak perlu ambil untuk diri sendiri.

Namun, sebaiknya anda mengambil kad perubatan sendiri ketika masih muda kerana bayaran bulanan yang rendah dan kesihatan anda yang baik. Jika anda baru nak ambil ketika sudah berusia, mungkin ada sesetengah penyakit yang tak dilindungi atau anda perlu bayar premium yang tinggi disebabkan umur.

Pastikan anda mempunyai kad perubatan dengan sekurang-kurangnya bilik RM200 dengan had tahunan sebanyak RM1 juta dan tiada had seumur hidup.

6. Kemalangan Diri

Yang terakhir sekali, anda juga perllu mendapatkan perlindungan terhadap risiko kecederaan, hilang upaya kekal dan kematian yang tak disengajakan yang mungkin tidak dilindungi dengan polisi-polisi di atas. Statistik menunjukkan peratusan yang tinggi remaja yang terlibat dengan kemalangan yang menyebabkan mereka tidak lagi mampu bekerja, mengalami hilang upaya kekal dan juga meninggal dunia.

Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) atau SOCSO untuk bayaran kemalangan kerana ada beberapa terma dan syarat yang perlu dipenuhi. Sering diabaikan kerana ianya jarang dipromosikan kerana premium yang bayaran, tetapi polisi PA sangat berkesan terutamanya bonus pembaharuan tahunan yang menarik.

Sama juga, pastikan kita ada perlindungan PA di antara 3-5 tahun daripada gaji tahunan.

Perlu Seimbang

Kesimpulannya, kita perlukan perlindungan Takaful yang seimbang. Sekiranya terlalu banyak, mungkin sukar untuk kita menyimpan dan melabur untuk mencapai sasaran kewangan.

Tetapi sekiranya perlindungan terlalu kurang pula, kemungkinan waris kita akan berdepan dengan kesukaran daripada segi kewangan apabila kita tak mampu lagi menjana pendapatan.

Namun adalah penting untuk anda mendapatkan Takaful sebaik saja anda mula bekerja, tetapi perlu dinilai setiap tahun bagi memastikan anda dilindungi dengan baik.

Join our Telegram to get the latest from Smart Investor
Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Recent Posts

Related Posts

Smart Investor Newsletter

Get Our Latest Articles And More Delivered To Your Inbox!

Are you sure want to unlock this post?
Unlock left : 0
Are you sure want to cancel subscription?