Smart Investor Malaysia

Previous
Next

Simpan vs Labur? Patutkah Saya Menyimpan Dulu Atau Nak Melabur Dulu?

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Soalan yang sering ditanya oleh orang ramai adalah: simpan vs labur? Nak menyimpan dulu atau nak melabur dulu?

Tapi sebelum kita bermula, lebih baik kita fahamkan terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan simpan dan apa yang dimaksudkan dengan labur.

“Simpan adalah pendapatan yang tidak dibelanjakan. Kaedah menyimpan adalah dengan meletakkan wang sebagai contoh, ke dalam akaun simpanan, akaun persaraan, atau juga menyimpan wang tunai.”

Dalam erti kata lain, simpanan adalah pendapatan yang diperolehi daripada gaji atau berniaga, dan meletakkan di sesuatu tempat. Boleh jadi di dalam akaun simpanan, e-dompet atau dalam bentuk wang kertas di bawah bantal sekalipun.

“Pelaburan adalah perbuatan menukar wang kepada bentuk aset yang akan meningkat nilainya pada masa hadapan. Pelaburan memerlukan masa, wang, atau usaha.”

Dalam erti kata lain, melabur adalah meletakkan wang ke dalam instrumen di mana anda boleh lihat ianya berkembang. Lebih lama anda melabur, lebih tinggi pulangan yang diperolehi.

Baca: Pelaburan Terbaik 2023: Menjelang Kegawatan Ekonomi

Simpan vs Labur

Seperti yang kita sedia maklum, anda tidak mungkin boleh melabur sekiranya anda tidak mempunyai sebarang wang. Ini juga bermakna sekiranya anda tidak mempunyai sebarang simpanan, maka anda tidak boleh nak melabur.

Tahukah anda bahawa statistik ada menyebut, 75% rakyat Malaysia tidak mampu nak sediakan wang sebanyak RM1,000 sekiranya berlaku sebarang kecemasan. Tabiat menyimpan memang kurang di kalangan orang ramai.

Sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini seperti kemalangan, kerosakan kereta, atau sakit yang memerlukan kita tinggal di hospital, maka kita perlu meminjam daripada saudara-mara atau rakan-rakan. Lebih malang lagi sekiranya tiada siapa yang dapat membantu, maka kita perlu pula pinjam daripada ‘ah long’ yang akhirnya menjerat diri.

Maka dalam situasi simpan vs labur, pastikan anda mempunyai simpanan yang cukup terlebih dahulu.

RM5.2 Bilion Kerugian Kepada Scam

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, terdapat 71,833 kes penipuan yang dicatatkan dari tahun 2020 sehingga Mei 2022, dengan kerugian sebanyak RM5.2 bilion.

Di antara contoh-contoh scam yang terkenal di Malaysia adalah:

  • Penyamaran bank / kerajaan
  • Pinjaman haram
  • Keldai wang / akaun / ATM
  • Penyewaan kad
  • Scam pelaburan
  • Scam e-dagang
  • Scam percintaan

Baca: Scammer Di Malaysia Mengakibatkan Kerugian RM5.2 Bilion Dalam Tempoh Dua Tahun

Tetapi bawa bertenang, tadi kata rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan, tetapi tiba-tiba ada pula banyak duit untuk melabur? Kalau melabur ke tempat yang betul, masih boleh dimaafkan – tetapi terjebak dengan scam pula.

Ini menunjukkan bahawa kita memang tidak pandai mengurus kewangan. Kita tiada simpanan, kemudian kita melabur pula ke tempat yang bukan-bukan. Apabila kita kehilangan segala-galanya kepada scammer, tiada yang boleh menyelamatkan kita, kerana kita langsung tiada simpanan.

Memang tidak dinafikan kita semua ingin jadi kaya, tetapi anda harus ingat bahawa pelaburan adalah permainan jangka masa panjang. Sekiranya anda sekarang berumur 30 tahun dan hanya akan mencecah umur persaraan pada umur 60 tahun, maka anda masih mempunyai 30 tahun untuk bekerja dan masih boleh buat beberapa kesilapan sepanjang perjalanan.

Berbanding seseorang yang kini berusia 50-an dan akan pencen tak sampai 10 tahun lagi, maka beliau perlu melabur untuk jangka masa pendek dan ke tempat yang berisiko rendah.

Sudi diingatkan lagi sekali di dalam situasi simpan vs labur, berikan keutamaan kepada menyimpan terlebih dahulu.

Baca: Adakah Pelaburan Risiko Tinggi Sesuai Untuk Saya?

Simpan Sebelum Labur

Disebabkan itulah kita perlu meletakkan keutamaan yang betul. Pastikan anda mempunyai simpanan sebanyak 3-6 bulan daripada gaji bulanan. Sekiranya gaji sekarang RM5,000 sebulan, pastikan ada sekurang-kurangnya RM15,000 dalam dana kecemasan. Lebih baik kalau ada RM30,000, agar anda lebih bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan.

Satu pengajaran yang kita boleh dapat daripada pandemik COVID-19 adalah, tiada rancangan yang boleh menyediakan kita untuk berdepan dengan sesuatu sebesar ini. Walaupun kita dah buat persediaan terbaik sekalipun, pasti kesannya akan dirasai.

Lebih menyedihkan sekiranya anda tidak mempunyai sebarang simpanan. Terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan pelbagai skim yang membantu rakyat Malaysia.

Sekarang anda dah tahu apa nak buat apabila berdepan dengan dilema nak simpan vs labur?

Baca: Simpanan RM1 Juta, Bagaimana Nak Capai?

Melabur Dalam Portfolio Yang Pelbagai

Saya yakin anda pernah dengar pepatah, “high risk high return’. Ini bermakna sekiranya anda mahu dapatkan pulangan yang tinggi, maka anda perlu bersedia untuk berdepan dengan risiko yang tinggi.

Dan saya juga yakin anda pernah dengar pepatah “Jangan letak semua telur dalam satu bakul”.

Gabung kedua-duanya sekali, dan anda perlu melabur ke dalam portfolio yang pelbagai. Ada sedikit di dalam instrumen berisiko rendah (dengan pulangan yang rendah) seperti deposit tetap, melabur sedikit di dalam instrumen berisiko sederhana (dengan pulangan sederhana) seperti unit amanah atau hartanah, dan sedikit di dalam instrumen berisiko tinggi (dengan pulangan tinggi) seperti saham atau kripto.

Dengan mengamalkan konsep kepelbagaian portfolio, sekiranya sebarang ‘bakul’ anda jatuh sehingga memecahkan semua telur di dalamnya, anda masih ada bakul lain yang boleh mengurangkan kerugian tersebut.

Tetapi dalam situasi simpan vs labur, diharapkan anda dah jelas bahawa anda perlu utamakan simpanan sebelum nak melabur.

Baca: Kepelbagaian Dalam Pelaburan

Join our Telegram to get the latest from Smart Investor
Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
Previous
Next

Recent Posts

Related Posts

Smart Investor Newsletter

Get Our Latest Articles And More Delivered To Your Inbox!