Smart Investor Malaysia

Previous
Next

Simpan RM1 Juta Dengan Menabung Sendiri Atau Melakukannya Dengan Hartanah?

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Ramai orang mempunyai impian untuk menjadi seorang jutawan. Tetapi persoalannya pada hari ini, adakah anda nak simpan RM1 juta dengan menyimpan tiap-tiap bulan? Atau nak gunakan instrumen hartanah untuk membolehkan anda simpan RM1 juta selepas beberapa tahun?

Sasaran Simpan RM1 Juta

Tetapi sebelum itu, kita perlu ingat bahawa nilai duit kita semakin susut saban tahun disebabkan inflasi. Duit RM50 satu ketika dahulu boleh penuh troli, tetapi hari ini duit RM50 yang sama hanya boleh beli beberapa barang saja.

Kalau dulu kita boleh beli roti canai RM0.50, tapi hari ini sekeping roti canai berharga RM1.50. Dalam industri hartanah pun berlaku inflasi.

Hartanah yang berharga RM500,000 pada hari ini, mungkin hanya berharga RM300,000 dalam 10 tahun yang lalu. Manakala lagi 10 tahun yang akan datang, harganya mungkin meningkat pula menjadi RM800,000.

Seterusnya kita perlu tanya diri sendiri, “Bolehkah saya beli hartanah berharga RM300,000 ketika 10 tahun yang lalu atau hartanah berharga RM500,000 pada hari ini, agar hartanah yang sama menjadi alat yang kalis inflasi apabila harganya meningkat naik nanti?

Baca: Simpan vs Labur? Patutkah Saya Menyimpan Dulu Atau Nak Melabur Dulu?

Fikirkan Tentang Simpanan RM500,000

Pada tahun 2003, saya telah beli hartanah pertama saya, sebuah apartmen pada harga RM123,000. Saya kemudian telah menjualnya pada harga RM238,000 beberapa tahun selepas itu.

Hari ini saya periksa, harganya menghampiri RM300,000. Apabila inflasi berterusan menyebabkan harga semua barang naik, maka harga hartanah pun akan terus naik.

Sumber: propertyguru.com.my pada tarikh 18 Oktober 2022

Boleh ke kita nak simpan berbanding beli hartanah?

Soalan saya mudah saja. Bolehkah anda menyimpan RM200,000 sepanjang tempoh 10 tahun tersebut apabila harga hartanah meningkat daripada RM300,000 menjadi RM500,000?

Jika anda boleh, maka tak perlu nak beli hartanah. Jimat masa dan tenaga daripada terbeli hartanah yang salah. Anda cuma perlu menyimpan setiap bulan secara konsisten untuk capai RM200,000 tanpa perlu beli hartanah berharga RM300,000 tersebut.

Soalan yang sama bagi mereka yang berkata nak simpan RM1 juta di masa hadapan adalah bersamaan dengan RM500,000 pada hari ini. Anda boleh simpan mula daripada hari ini dan capai RM500,000, di mana lagi 20 tahun ianya akan berkembang sehingga anda berjaya simpan RM1 juta apabila anda bersara.

Inflasi akan memakan nilai hartanah RM1 juta tersebut menjadi lebih hampir dengan RM500,000.

Boleh ke kita simpan RM500,000 tanpa membeli hartanah dan berharap ianya akan naik disebabkan inflasi? Jika anda boleh melakukannya, maka anda boleh abaikan pelaburan hartanah.

Baca: Patutkah Saya Keluarkan Duit KWSP Untuk Bayar Pinjaman Perumahan?

Kenapa Perlu Simpan RM1 Juta?

Rakyat Malaysia kini hidup sehingga umur 75 malah 80 tahun berdasarkan jangka hayat terkini. Jangka hayat ini semakin tinggi kerana adanya perubatan moden serta kesedaran yang semakin meningkat untuk menjalani gaya hidup sihat.

Kita boleh bersara pada bila-bila masa, tapi andaikan kita bersara pada umur 60 tahun dan dikurniakan kesihatan untuk terus bekerja sehingga umur 60 tahun. Sebelum kita pencen, kita ada pendapatan, maka kita boleh bayar sewa sekiranya kita belum membeli sebarang hartanah. Tetapi selepas umur 60 tahun, pendapatan pun terhenti, tetapi kita masih perlu bayar sewa.

Sebagai seorang pemilik hartanah yang menyewakan rumah saya, saya tidak berhasrat untuk beritahu penyewa untuk berhenti bayar sewa selepas beliau membayarnya secara konsisten untuk tempoh 30 tahun yang terdahulu.

Berapa sewa yang diperlukan di masa hadapan?

Sewa untuk apartmen kecil kita anggarkan sebanyak RM2,000. (Di masa hadapan, nilai RM2,000 lebih kurang nilai RM1,200 pada hari ini)

Hidup dari umur 60 tahun sehingga 75 tahun, jumlahnya adalah 15 tahun atau 180 bulan.

180 bulan x RM2,000 bersamaan RM360,00. Tetapi ini hanya kadar sewa semata-mata, dan katakanlah pemilik hartanah seorang yang baik hati dan tak menaikkan sewa sepanjang tempoh 15 tahun tersebut.

Bagaimana sekiranya kita ada simpanan RM500,000 pada ketika itu? (Saya mengandaikan anda tidak beli hartanah)

Sekiranya anda ada RM500,000, maka anda perlu peruntukkan RM360,000 untuk sewa berdasarkan pengiraan di atas. Ada lagi baki sebanyak RM140,000 untuk makan minum.

Berapa banyak RM140,000 untuk tempoh 15 tahun? Ianya RM25 sehari. Ini bermakna anda boleh belanja RM25 untuk makan tiga kali sehari.

Ini bermakna RM8 bagi setiap kali makan. Adakah roti canai dan teh tarik kita boleh dapat pada harga RM8 pada ketika itu?

Sebab itulah artikel ini tekankan kita untuk simpan RM1 juta.

Dengan adanya simpanan sebanyak RM1 juta, selepas memperuntukkan RM360,000 untuk sewa, kini ada baki RM640,000 untuk makan minum dan lain-lain perkara yang anda ingin lakukan. Bagaimana sekiranya kita belanja RM50 sehari?

RM50 x 30 hari x 12 bulan x 15 tahun bersamaan RM270,000.

RM640,000 (baki selepas tolak sewa) tolak RM270,000 (untuk makan minum) bermakna kita ada lagi RM370,000 untuk belanja. Dari umur 60 tahun apabila kita bersara, sehingga kita sambut harijadi yang ke-75 sekiranya panjang umur.

Tak perlu berdebat sama ada cukup atau tidak RM370,000. Malah sekiranya anda simpan RM1 juta pun, kita tak tahu sama ada ianya cukup atau tidak.

Baca: Hutang Baik VS Hutang Jahat

Kesimpulan

Sekiranya anda TIDAK beli rumah yang berharga RM500,000 hari ini, anda perlu simpan RM1 juta untuk bersara dengan tenang nanti. Anda mahu beli hartanah hari ini dan terpaksa bayar instalment bulanan, atau terpaksa simpan RM1 juta apabila pencen umur 60 tahun nanti?

Anda boleh simpan RM1 juta sendiri. Atau anda boleh simpan RM1 juta dengan membeli hartanah.

Pilihan di tangan anda.

Mengenai Penulis

Charles merupakan Pengasas kopiandproperty.com (sebuah blog mengenai hartanah yang terkemuka di Malaysia). Artikel beliau sering tersiar di dada-dada akhbar, majalah dan portal hartanah. Beliau juga merupakan seorang hakim anugerah hartanah termasuklah iProperty.com Agents Advertising Awards dan PropertyGuru Asia Property Awards (Malaysia). 

Join our Telegram to get the latest from Smart Investor
Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Recent Posts

Related Posts

Smart Investor Newsletter

Get Our Latest Articles And More Delivered To Your Inbox!