Sejak sekian lamanya, para pelabur sering tertanya-tanya bilakah masa terbaik untuk melabur. Lebih-lebih lagi sejak pandemik melanda di mana pasaran saham sedunia jatuh merudum.
You might also like
Kalau boleh, pastinya semua orang mahu membeli di dasarnya. Iaitu di paras yang paling rendah.
Apa Pelabur Boleh Lakukan?
Pertama sekali, tetapkan perspektif anda. Ianya mungkin kelihatan seperti kita sedang menghadapi keadaan yang sukar, tetapi pasaran saham pernah melalui beberapa kali kegawatan ekonomi. Sejarah menunjukkan bahawa kitaran menaik selepas itu akan menjadi lebih tinggi daripada yang sebelumnya.
Kenaikan tersebut jauh mengatasi kerugian yang dialami apabila ekonomi gawat. Maka seorang pelabur perlu berdisiplin dan kekal di atas landasan bagi mencapai matlamat pelaburan. Mengambil pendekatan jangka masa panjang dan mempelbagaikan portfolio adalah penting bagi mengharungi ketidaktentuan ini.
Kelas aset yang lebih defensif seperti deposit tetap mampu beri pulangan yang lebih baik berbanding ekuiti. Tetapi itu tidak bermakna anda perlu mengabaikan ekuiti sepenuhnya.
Pasaran saham akan pulih semula dan ianya penting supaya pelabur kekal melabur bagi mendapatkan masa terbaik untuk melabur apabila pasaran naik semula. Nak teka secara tepat memang agak sukar dan boleh dikatakan agak mustahil.
Seperti yang anda boleh lihat dalam Graf 1 di bawah, sekiranya anda terlepas peluang melabur pada masa terbaik boleh menjejaskan pulangan jangka masa panjang.
Graph 1: The Cost of Market Timing The Risk of Missing the Best Days in Market, 2000 – 2019 |

Menurut Morningstar, pelabur yang kekal melabur sepanjang tempoh 5,035 hari perdagangan akan memperolehi pulangan tahunan terkompaun sebanyak 6.1%. Tetapi pelaburan yang sama akan beri pulangan 2.4% sekiranya anda terlepas 10 hari terbaik pelaburan.
Sekiranya anda terlepas 50 hari terbaik akan mengakibatkan kerugian sebanyak 5.5%. Walaupun pasaran saham dilihat agak volatile dari sehari ke sehari, tetapi pelabur yang melabur untuk jangka masa panjang akan mendapat nikmatnya.
Ini jelas menunjukkan bahawa memang sukar untuk pilih masa terbaik untuk melabur.
Masa Terbaik Untuk Melabur Bagi Anda, Tetapi Bukan Bagi Pasaran

Daripada pening kepala memikirkan masa terbaik untuk melabur, adalah lebih baik anda melabur secara konsisten. Tanya diri anda soalan berikut:
- Dah cukup simpanan kecemasan untuk menampung sebarang keperluan yang mendesak?
- Bagaimana pula dengan komitmen masa depan?
- Bolehkah saya melabur untuk jangka masa panjang?
Ekonomi global penuh dengan ketidaktentuan, lebih-lebih lagi di kala pandemik melanda. Ditambah lagi dengan pergolakan dan peperangan yang mengakibatkan pasaran saham turun naik dengan agak laju. Itu belum lagi kegawatan ekonomi yang bakal menyusul tak lama lagi.
Itulah pentingnya anda mempunyai simpanan kecemasan yang mencukupi. Pastikan anda mempunyai sekurang-kurangnya 3-6 bulan perbelanjaan bulanan di dalam dana kecemasan yang boleh digunakan apabila ianya diperlukan.
Pelabur juga perlu melihat kepada tempoh pelaburan dan kecairan. Adakah anda perlukan wang tunai untuk bayar sebarang hutang atau perbelanjaan dalam masa terdekat? Mampukah anda terus melabur tanpa mengeluarkannya untuk tempoh sekurang-kurangnya 3 tahun?
Ini kerana pelaburan perlukan masa untuk berkembang dan bukannya melabur hari ini esok jadi kaya. Anda perlu bersabar kerana sejarah telah membuktikan bahawa mereka yang melabur untuk jangka masa panjang, tanpa mengira kitaran pasaran berupaya meraih pulangan yang besar.
Usah tunggu masa terbaik untuk melabur. Sebaiknya anda pertimbangkan kedudukan kewangan sendiri, tempoh masa pelaburan dan profil risiko. Teruskan melabur untuk masa depan yang lebih gemilang.
Mengenai Penulis

Lee Sheung Un merupakan pegawai komunikasi di Affin Hwang Asset Management. Seorang milenial, beliau masih mencari keseimbangan di antara kekayaan, kebebasan dan hala tuju. Pandangan yang diluahkan adalah miliknya.
