Smart Investor Malaysia

Previous
Next

Pelaburan Emas Daripada Perspektif Islam, 6 Cara Untuk Melabur Emas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Emas adalah merupakan pelaburan logam berharga yang sangat popular dan mampu menjana pendapatan bagi para pelabur. Emas sering digunakan sebagai alat kalis inflasi dan kemerosotan nilai mata wang. Apabila inflasi meningkat, harga emas biasanya akan naik.

Emas Salah Satu Barang Ribawi

Apabila melakukan transaksi yang melibatkan barang ribawi, maka setiap pihak perlu beri perhatian yang lebih agar tidak terlibat dengan riba.

Daripada Ubadah Bin al-Somit RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

الذَّهَبُ بالذَّهَبِ، والْفِضَّةُ بالفِضَّةِ، والْبُرُّ بالبُرِّ، والشَّعِيرُ بالشَّعِيرِ، والتَّمْرُ بالتَّمْرِ، والْمِلْحُ بالمِلْحِ، مِثْلًا بمِثْلٍ، سَواءً بسَواءٍ، يَدًا بيَدٍ، فإذا اخْتَلَفَتْ هذِه الأصْنافُ، فَبِيعُوا كيفَ شِئْتُمْ، إذا كانَ يَدًا بيَدٍ

Maksudnya“Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta (on the spot)”.

Hadis Riwayat Muslim (1587)

Berdasarkan hadis ini, pembelian barang ribawi seperti emas mesti dilakukan segera tanpa sebarang penangguhan. Sekiranya berlaku penangguhan dalam pembayaran atau penghantaran emas, ianya jatuh ke dalam kategori riba al-nasiah, riba yang disebabkan oleh penangguhan bayaran atau penghantaran.

Lebih berat lagi apabila penangguhan tersebut akan dikenakan caj tambahan. Secara alternatif, pembeli boleh membuat pembiayaan dengan pihak ketiga sebelum membeli emas dengan wang tunai.

Jom kita tengok 6 cara nak melabur emas bagi seseorang pelabur.

1. Pelaburan Emas Fizikal Menerusi Laman Web Bullion

Bullion merujuk kepada emas dan perak dengan ketulenan tinggi yang terdapat dalam bentuk bar, jongkong atau syiling. Membeli bar emas adalah cara konvensional untuk pelaburan emas.

Bagaimanapun, jangan hadkan diri anda untuk hanya beli emas fizikal apabila mempertimbangkan untuk melabur emas.

2. Pelaburan Emas Fizikal Menerusi Barang Kemas

Emas perhiasan adalah cara paling popular bagi wanita untuk melabur emas. Selain sebagai sebuah instrumen pelaburan, emas juga boleh mencantikkan lagi seseorang wanita apabila memakainya di leher atau di pergelangan tangan.

Namun ada beberapa kelemahan pelaburan emas dalam bentuk perhiasan:

  • Anda bayar lebih mahal upah pertukangan
  • Anda berkemungkinan beli emas 24 karat yang bukan tulen sepenuhnya. Disebabkan emas 24 karat mudah calar, ia jarang digunakan sebagai barang kemas. Maka pastikan anda tidak beli emas 24 karat
  • Susah juga untuk simpan emas dengan selamat. Perompak tahu rakyat Malaysia suka simpan emas di rumah, maka ianya menjadi sasaran perompak
  • Kerana setiap barang kemas adalah unik, sukar untuk dapatkan harga seragam apabila ingin menjualnya. Anda perlu pergi ke kedai dan tawar-menawar, dan anda tidak akan dapat harga emas tulen. Ini kerana pembeli perlu mencairkan emas tersebut dan buatnya semula. Maka kos tersebut akan dikenakan kepada anda

3. Dana Dagangan Saham (ETF) Yang Membeli Emas

Selain daripada emas fizikal, anda juga boleh beli ETF sama seperti anda beli saham di pasaran saham. ETF membolehkan pelabur akses kepada emas tanpa sebarang caj tambahan, caj simpanan atau risiko keselamatan yang dikaitkan dengan emas sebenar.

Tetapi akan ada nisbah perbelanjaan sesuatu dana yang menyebabkan pelabur dikenakan caj beberapa peratus setiap tahun. Ianya yuran tahunan bagi membayar pihak pengurusan dan perbelanjaan pentadbiran.

Di Malaysia, TradePlus Shariah Gold Tracker dari Affin Hwang Asset Management membolehkan pelabur peluang untuk melabur ke dalam emas secara patuh Syariah. Dana tersebut menjejak pulangan emas menerusi struktur ETF, di mana anda boleh membelinya di Bursa Malaysia.

4. Beli Emas Menerusi Pasaran Niaga Hadapan Atau Opsyen

Kontrak bullion niaga hadapan juga boleh dibeli oleh para pelabur. Kontrak niaga hadapan adalah persetujuan untuk membeli atau menjual sesuai aset atau komoditi pada harga semasa tetapi dilakukan pada masa hadapan.

Penjual kontrak niaga hadapan bersetuju untuk menghantar emas kepada pembeli pada tarikh luput kontrak. Pembeli akan memiliki kontrak emas sehingga kontrak tersebut dihantar. Sekiranya pembeli membuat keputusan untuk tidak membeli emas tersebut, kontrak tersebut boleh dijual sebelum ianya matang atau ditukar kepada kontrak baru (dengan syarat baru, harga baru, tarikh baru).

Pelaburan emas sebegini tidak dibenarkan di dalam Islam, sepertimana Hadis di atas, semua barang ribawi perlu dijalankan secara lani (on-the-spot). Pembeli perlu memiliki emas serta-merta tanpa perlu menunggu untuk ianya dihantar di kemudian hari.

5. Kontrak Untuk Perbezaan / Contract For Differences (CFD) Emas

Perdagangan emas kini tidak lagi memerlukan para pedagang untuk memiliki emas fizikal untuk berdagang. Kontrak Untuk Perbezaan (CFD) adalah kontrak kewangan yang membayar perbezaan di antara harga buka dan harga tutup harga penyelesaian.

Objektif di sebalik perdagangan CFD emas adalah untuk melakukan spekulasi ke atas emas. Keuntungan atau kerugian adalah dikira berdasarkan perubahan harga emas di sepanjang tempoh kontrak.

Ketika pasaran sedang jatuh, anda boleh JUAL dulu emas kemudian BELI semua. Sebaliknya apabila pasaran sedang naik, anda boleh BELI pada harga rendah dan JUAL apabila harganya naik.

Pelaburan CFD adalah dilarang kerana tiada sebarang transaksi emas berlaku, dan kesan ekonominya adalah seperti kita berjudi.

6. Dana Dagangan Saham (ETF) Yang Berdagang Niaga Hadapan Emas

Apabila kontrak berdasarkan kepada niaga hadapan emas, ianya juga haram untuk melabur ke dalam ETF yang berdagang niaga hadapan emas.

Mengenai Penulis

Hanif Yahaya merupakan seorang Perancang Kewangan Berlesen. Belaiu merupakan pelajar terbaik Shariah Registered Financial Planner (Shariah RFP) pada tahun 2018 dan menamatkan Registered Financial Planner (RFP) pada tahun 2020. Beliau juga merupakan Jurulatih HRDF Bertauliah dan kini seorang Ahli Jawatankuasa Belia Malaysian Financial Planning Council (MFPC) serta Ahli Malaysian Association of Muslim Finance Professionals.

Join our Telegram to get the latest from Smart Investor
Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Recent Posts

Related Posts

Smart Investor Newsletter

Get Our Latest Articles And More Delivered To Your Inbox!

Are you sure want to unlock this post?
Unlock left : 0
Are you sure want to cancel subscription?