Smart Investor Malaysia

Previous
Next

Patut Ke Saya Selesaikan Hutang Awal Bagi Kereta, Hutang Rumah, Hutang Kad Kredit Dan Pinjaman Peribadi?

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Prabayaran (Prepayment) atau Bayaran Terlebih adalah pembayaran yang dibuat ke atas jumlah pinjaman tertunggak sebelum sampai waktunya. Sebagai contoh, katakan anda mempunyai hutang rumah untuk tempoh 35 tahun, tetapi anda selesaikannya lebih awal pada tahun ke-20, dan baki lagi 15 tahun anda bebas daripada hutang rumah tersebut. Maka persoalannya, adalah dengan selesaikan hutang awal, kita akan dapat berjimat?

Daripada kaca mata saya, pinjaman sekiranya digunakan dengan cara yang betul boleh membantu anda, tetapi sekiranya ia disalahguna atau tersalah faham akan menjadi pemusnah.

Jom kita lihat daripada sudut objektif dengan pengiraannya sekali. Sebelum kita menjawab soalan “Patut ke saya selesaikan hutang awal bagi kereta, hutang rumah, hutang kad kredit atau pinjaman peribadi?”, saya nak perkenalkan satu istilah baru.

Kos Peluang (Opportunity Cost)

Biasanya istilah kos peluang akan keluar di dalam subjek kewangan dan ekonomi. Sebenarnya, kita semua alaminya setiap hari. Kos peluang di sini merujuk kepada kerugian sesuatu apabila anda membuat sesuatu pilihan berbanding pilihan yang lain.

Sebagai contoh, katakan kita pasang bunyi loceng jam untuk mengejutkan kita pada pukul 6 pagi. Adakah kita akan padam jam tersebut dan sambung tidur? Anda akan terlepas 10 minit waktu anda terjaga, tetapi anda memperolehi 10 minit tambahan untuk sambung tidur.

Apabila anda memandu ke tempat kerja, perjalanan tersebut mengambil masa 30 minit dan anda perlu fokus di atas jalanraya. Berbanding anda bayar RM20 untuk menaiki teksi dan anda kini mempunyai masa 30 minit yang boleh dimanfaatkan sebaiknya.

Katakan anda belanja RM5,000 untuk beli telefon pintar yang baru, berbanding anda laburkan duit tersebut atau beli laptop untuk kegunaan kerja.

Melabur RM10,000 ke dalam sesebuah syarikat bermakna anda kini kurang RM10,000 untuk melabur ke dalam syarikat lain.

Anda akan sering berdepan dengan soalan “apakah kos peluang” dalam membuat sebarang keputusan. Dan anda buat bermacam-macam keputusan setiap hari.

Pinjaman dan prabayaran adalah kos peluang yang jelas, iaitu kadar faedah. Tetapi sebelum itu, kita kena ketahui dulu beberapa jenis kadar faedah.

5 Jenis Kadar Faedah

1. Kadar Tetap

Kadar faedah jenis tetap tidak dipengaruhi oleh pasaran dan akan kekal sepanjang tempoh pinjaman.

2. Kadar Berubah-Ubah / Terapung

Kadar berubah-ubah terikat dengan perubahan kadar faedah semasa. Ianya akan berubah apabila kadar OPR (overnight policy rate) atau Kadar Dasar Semalaman turun atau naik. Sekiranya OPR naik, maka bayaran balik pinjaman akan naik. Sekiranya OPR turun, maka bayaran balik pinjaman akan berkurang.

3. Berstruktur – Rata

Kadar faedah berstruktur yang rata mengira kadar faedah berdasarkan jumlah pinjaman pokok tanpa mengambil kira sebarang pembayaran balik modal.

4. Berstruktur – Baki Berkurang

Kadar faedah dengan baki berkurang ini mengira kadar faedah berdasarkan berapa jumlah pokok yang tertunggak. Faedah akan berkurang setiap bulan apabila bayaran pokok meningkat dengan setiap bayaran balik.

5. (Perangkap Struktur) Peraturan 78

Ianya sering didapati dalam pinjaman kereta dan pinjaman peribadi. Secara ringkasnya, anda perlu bayar kadar faedah di awal pinjaman berbanding ianya dibahagikan sama rata sepanjang tempoh pinjaman.

Ini bermakna sekiranya anda bayar lebih di penghujung tempoh pembayaran balik, tak banyak penjimatan daripada segi faedah kerana anda telah pun bayar kebanyakan daripada faedah di awal pinjaman. Anda boleh baca tentang Peraturan 78 ini dengan membuat kajian yang lebih mendalam, tetapi anda pasti akan berasa sedih apabila mengetahui bagaimana sesetengah bank beroperasi.

4 Komponen Utama Dalam Pinjaman Untuk Individu

Bagi membincangkan perihal pinjaman ini, kita akan melihat kepada 4 komponen utama iaitu, jenis kadar faedah, struktur pinjaman, kadar faedah dan kos peluang prabayaran.

Pinjaman Kereta

Jenis Kadar Faedah: Tetap

Struktur Pinjaman: Tetap + Perangkap Peraturan 78

Kadar Faedah: 2.9% – 3.3% (Kadar Faedah Efektif adalah 5.5% – 6.2%)

Kos Peluang: Jumlah penjimatan daripada prabayaran bergantung kepada bila kita bayar lebih. Lagi awal kita buat prabayaran -> Lebih banyak faedah yang kita jimat -> Lebih banyak modal yang diperlukan.

Dengan bayar lebih ianya memerlukan modal yang besar, maka kita akan rugi daripada sudut pulangan pelaburan. Membuat prabayaran kemudian akan mengakibatkan kita berkorban pulangan pelaburan dengan tak banyak penjimatan untuk faedah.

Kesimpulan: Disebabkan Peraturan 78 dan Kadar Faedah Efektif di sekitar 6%, maka tak berbaloi.

Modal lebihan yang anda ada, lebih baik digunakan untuk melabur ke dalam aset yang boleh menjana pulangan yang lebih tinggi berbanding kadar faedah dan faedah berganda (compounding) daripada pulangan pelaburan tersebut.

Sekiranya anda nak buat prabayaran di peringkat awal pinjaman, lebih baik anda beli kereta tersebut dengan wang tunai!

Pinjaman Rumah

Jenis Kadar Faedah: Kebiasaannya berubah-ubah / terapung

Struktur Pinjaman: Baki berkurang

Kadar Faedah: BLR (Base Lending Rate) – 2.5% (Lebih kurang 3.3% sekarang)

Kos Peluang: Pinjaman rumah biasanya sangat besar nilainya. Bersedia untuk keluarkan duit yang banyak.

Anda terpaksa melupakan peluang pelaburan yang lain yang boleh jana pendapatan lebih daripada kadar faedah 3% – 5% yang perlu anda bayar untuk pinjaman rumah.

Kesimpulan: Memandangkan kadar faedah yang kita perlu bayar dan jenis faedah dengan baki berkurang, adalah lebih baik untuk kita laburkan ke dalam aset yang boleh jana pulangan lebih 5% seperti ASB, REIT dan bermacam-macam lagi.

Tetapi sekiranya pelaburan hartanah yang mampu jana pendapatan sewa, maka tiada lagi masalah berkenaan bayaran balik setiap bulan.

Pinjaman Kad Kredit

Jenis Kadar Faedah: Tetap

Struktur Pinjaman: Istimewa kerana ianya berdasarkan baki tertunggak setiap bulan dan faedah dikenakan setiap hari secara compounding.

Kadar Faedah: 15% – 18% dan dikenakan faedah berganda setiap hari, menjadikannya 20%

Kos Peluang: Jangan melabur sebaliknya kena selesaikan hutang kad kredit secepat mungkin disebabkan caj faedah 20% yang sangat tinggi.

Kesimpulan: Pembayaran menggunakan kad kredit adalah baik sekiranya anda tahu cara yang betul. Tetapi sekiranya kad kredit sebagai satu bentuk pinjaman, ianya tak masuk akal disebabkan kadar faedah yang tinggi melampau.

Sekiranya anda tidak membayar balik pinjaman kad kredit secepat mungkin, maka anda bakal berdepan dengan kadar faedah efektif sebanyak 20% (disebabkan faedah berganda setiap hari).

Saya tak tahu sebarang pelaburan yang boleh beri keuntungan 20% secara konsisten, maka selesaikan segala hutang kad kredit anda hari ini juga. Malah, jangan pernah terlibat langsung dengan hutang kad kredit.

Pinjaman Peribadi

Jenis Kadar Faedah: Tetap

Struktur Pinjaman: Tetap + Perangkap Peraturan 78

Kadar Faedah: 4% – 7% (Kadar Faedah Efektif 7.5% – 13.5%)

Kos Peluang: Abaikan pulangan pelaburan di atas prabayaran modal berbanding penjimatan sebanyak 7.5% – 13.5% kadar faedah yang dikenakan. Tetapi perlu ingat, ianya tertakluk kepada Peraturan 78 juga, sama seperti pinjaman kereta.

Kesimpulan: Disebabkan kadar faedah efektif yang tinggi, prabayaran adalah langkah yang bijak untuk mengelakkan daripada perlu memanjangkan tempoh pinjaman.

Saya cadang penggunaan kalkulator penyelesaian pinjaman untuk mengira berapa banyak anda mampu jimat, sebelum membuat keputusan untuk menggunakan modal tersebut untuk buat prabayaran atau nak melabur dengan pulangan yang lebih tinggi.

Kos Peluang Terbesar

Berbalik kepada soalan, “Patut ke saya selesaikan hutang kereta, hutang rumah, hutang kad kredit atau pinjaman peribadi lebih awal?”, jawapannya adalah bergantung kepada kos peluang sekiranya anda memilih untuk buay prabayaran.

Dalam pilihan di atas, saya tidak akan buat prabayaran sekiranya saya boleh guna modal tersebut untuk menjana pulangan yang lebih tinggi berbanding kadar faedah yang perlu saya bayar.

Kos peluang terbesar adalah, dapatkan pinjaman yang membenarkan saya gunakan modal yang sedikit untuk jana pendapatan yang lebih tinggi di tempat lain, berbanding kadar faedah yang perlu saya bayar.

Sekiranya saya mempunyai RM100,000, saya boleh gunakan duit RM10,000 untuk bayar duit muka (downpayment) sebuah rumah yang berharga RM100,000.

Saya boleh pinjam RM90,000 dengan kadar faedah 3%, dan gunakan RM90,000 ini untuk melabur ke dalam REIT yang memberikan dividen sebanyak 5%.

Daripada pulangan 5% ini, saya boleh bayar pinjaman dengan kadar 3% dan saya masih ada pulangan sebanyak 2% yang boleh saya labur semula untuk dapatkan pulangan yang lebih banyak.

Pada asasnya, saya memiliki rumah dengan RM10,000, dan saya ada REIT yang bernilai RM90,000 dengan menjana keuntungan bersih 2% daripada RM90,000, yang akan berganda.

Ini dilakukan tanpa saya perlu menyewa rumah tersebut. Ianya contoh yang mudah, tetapi menunjukkan betapa hebatnya kuasa pinjaman sekiranya digunakan dengan cara yang betul.

Pilihan lain adalah dengan menggunakan duit RM100,000 untuk membeli rumah tersebut dengan wang tunai. Kini saya ada rumah tetapi tiada duit untuk pelaburan tambahan. Jadi patutkah saya selesaikan hutang awal atau tidak?

Mengenai Penulis

Artikel ini pada asalnya diterbitkan di betweenthemoney.com, sebuah laman web kewangan peribadi oleh Jason Loh, yang menumpukan kepada perihal kewangan dan pelaburan untuk rakyat Malaysia.

Join our Telegram to get the latest from Smart Investor
Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Recent Posts

Related Posts

Smart Investor Newsletter

Get Our Latest Articles And More Delivered To Your Inbox!