Smart Investor Malaysia

Previous
Next

Patut Ke Saya Berhenti Bayar Takaful Ketika Susah?

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Takaful adalah elemen penting bagi mana-mana rancangan kewangan, dan Pengurusan Risiko yang baik perlu mempunyai perlindungan terhadap risiko peribadi (Kematian Mengejut, Hilang Upaya Kekal Menyeluruh, Penyakit Merbahaya, Kemalangan dan Kemasukan Hospital), risiko harta benda (kereta, rumah dan isinya) serta perlindungan liabiliti.

Mempunyai sijil Takaful sedemikian dapat membantu anda dalam melindungi pendapatan, simpanan, persaraan, dan berasa tenang sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

Sekiranya tanpa sebarang perlindungan, akibat daripada tragedi yang berlaku adalah lebih buruk, terutamanya apabila berdepan dengan kenaikan kos perubatan yang boleh mengakibatkan beban kewangan yang berat ke atas keluarga anda.

Takaful keluarga yang baik boleh digunakan untuk membayar hutang rumah, kereta, kad kredit dan sebagainya, di samping meninggalkan waris anda dengan harta sekiranya anda meninggal dunia. Ianya juga boleh digunakan untuk khairat kematian termasuklah pengebumian.

Walaupun perlindungan takaful adalah sangat penting, tetapi orang ramai menganggapnya sebagai yang paling tak penting, atau tidak memberi keutamaan langsung dalam belanjawan keluarga.

Berbelanja untuk melancong, membeli-belah, pelan data yang mahal serta makan mewah, dilihat lebih penting berbanding membayar caruman Takaful.

Sebelum anda melanggan mana-mana pelan Takaful, pertama anda perlu melihat kepada Penyata Nilai Bersih diri anda untuk tahu berapa banyak hutang yang ada. Takaful sepatutnya mampu untuk membayar kesemua hutang dan tidak diwarisi kepada ahli keluarga sekiranya anda meninggal dunia di usia yang muda, atau ditimpa kemalangan sehingga tak mampu bekerja, mahupun penyakit kritikal yang boleh mengakibatkan kehilangan sumber pendapatan.

Oleh itu, anda perlu menyelaraskan aliran tunai dan perbelanjaan, atau tingkatkan pendapatan untuk mencari wang tambahan untuk mengekalkan caruman Takaful dan ada wang yang lebih untuk menyimpan.

Walaupun anda dibuang kerja, anda tidak sewajarnya berhenti daripada membayar caruman Takaful, atau lebih teruk lagi menyerahkan sijil anda. Pastikan perlindungan terus berjalan untuk melindungi anda di saat genting ini.

Bagaimanapun, jika situasi terdesak dan anda perlukan duit sangat-sangat, ada beberapa pilihan yang anda boleh lakukan.

Takaful Kenderaan Dan Rumah

insurance

Perlindungan kenderaan adalah wajib daripada segi undang-undang, maka perlulah bayar.

Manakala perlindungan api bagi rumah diperlukan oleh pihak bank sekiranya anda masih berhutang dengan bank.

Takaful Keluarga

Anda boleh pertimbangkan untuk mengambil tempoh pendek atau yang berkaitan dengan pelaburan (investment-linked), kerana ianya menawarkan caruman yang sedikit tetapi perlindungan yang tinggi.

Ada juga yang anda boleh menukarnya bagi memastikan perlindungan berjalan walaupun tiada bayaran dibuat. Walaubagaimanapun, ini hanyalah langkah sementara. Kena pastikan bayaran dibuat juga akhirnya, agak sijil anda tidak luput (lapsed).

Takaful Kesihatan

Anda tidak tahu bila akan jatuh sakit atau mengalami kemalangan. Bukannya kita nak minta perkara buruk ini, tetapi sekiranya malapetaka menimpa, kita masih mempunyai perlindungan yang secukupnya.

Anda boleh membuat bayaran premium yang lebih rendah dengan mengambil pelan perlindungan kesihatan secara sendirinya (standalone), berbanding pelan yang berbentuk pakej.

Juga sekiranya anda membayar premium yang tinggi untuk perlindungan yang besar, anda boleh pertimbangkan untuk mengurangkan perlindungan dengan premium yang lebih rendah.

Sekiranya anda membuat sebarang perubahan terhadap pelan kesihatan anda, pastikan anda ambil maklum tentang pengecualian, tempoh menunggu, penyakit sedia ada, serta terma dan syarat bagi pelan baru dan pelan lama. Kalau tidak, anda mungkin berdepan dengan kehilangan perlindungan.

Dengan pilihan yang ada ini, tiada lagi alasan untuk anda berhenti bayar caruman Takaful anda.

Tetapi sebelum itu, pastikan anda berunding dengan pakar yang boleh memberikan khidmat nasihat profesional sebelum membuat sebarang keputusan.

Join our Telegram to get the latest from Smart Investor
Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Recent Posts

Related Posts

Smart Investor Newsletter

Get Our Latest Articles And More Delivered To Your Inbox!