Smart Investor Malaysia

Previous
Next

Merdeka Ini, Bebaskan Diri Dari Perangkap Penipuan Pihak Ketiga

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Sindiket penipuan kewangan kini menjadi semakin kreatif dengan menggunakan pelbagai taktik lebih canggih bagi memperdaya mangsa sehingga mengakibatkan kerugian jutaan ringgit. Modus operandi yang digunakan oleh scammer terlalu banyak untuk memperdaya mangsa termasuklah memperkenalkan diri sebagai pegawai pihak berkuasa, pegawai bank, pegawai mahkamah atau agensi tertentu bagi mendapatkan maklumat peribadi seseorang dengan cara yang mudah. Terkini, sindiket jenayah kewangan ini menggunakan pendekatan baharu untuk memperdaya pemegang akaun bank supaya mendedahkan butiran perbankan mereka atau memasukkan perisian hasad/perosak (malware) ke dalam peranti mereka.

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang menyediakan perkhidmatan pendidikan kewangan, khidmat nasihat kewangan dan khidmat pengurusan hutang, juga tidak terlepas menjadi ‘modal’ golongan tidak bertanggungjawab ini. Sudah seringkali AKPK menerima aduan tentang adanya pihak ketiga yang mengaku mewakili AKPK dan mengenakan bayaran untuk perkhidmatannya. Sesungguhnya, AKPK tidak pernah melantik ejen atau pihak ketiga dan mengenakan bayaran bagi setiap perkhidmatan. Justeru, harus diingatkan sekiranya terdapat individu yang mendakwa dirinya sebagai wakil AKPK yang dilantik oleh pihak syarikat atau meminta bayaran atas khidmat yang diberikan, jangan mudah terpedaya kerana itu adalah taktik yang selalu digunakan oleh scammer untuk menipu wang tanpa disedari oleh mangsa.

Sudah Jatuh Ditimpa Tangga

AKPK telah menerima banyak laporan dan maklum balas daripada pelanggan yang mendakwa yang mereka telah didekati oleh individu tertentu yang mendakwa sebagai wakil atau ejen AKPK dan telah ditawarkan dengan bantuan untuk menyusun semula hutang mereka melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) AKPK. Sesetengah pelanggan cukup bijak untuk menyemak kesahihan perkhidmatan terlebih dahulu dan oleh itu ia dapat menghalang mereka daripada ditipu oleh ejen ini. Akan tetapi masih ramai lagi yang tidak bernasib baik dan telah mengalami kerugian. Pelanggan bukan sahaja kerugian dan kehilangan wang yang sedikit, malah sehingga mencecah ribuan ringgit. Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, itulah gambaran bagi mereka yang sedang menghadapi masalah kewangan dan kesulitan membayar hutang, tetapi ditipu pula oleh pihak ketiga yang meminta bayaran upah untuk berurusan dengan AKPK. AKPK sebenarnya telah menjalankan pelbagai usaha yang berterusan bagi menguar-uarkan penipuan ini kepada orang ramai termasuklah di media sosial bagi menyedarkan orang ramai tentang kehadiran pihak ketiga yang meminta bayaran untuk perkhidmatan seperti yang disediakan oleh AKPK.

Ketahui Modus Operandi

Modus operandi yang sering digunakan oleh ejen ini adalah dengan membuat panggilan telefon atau menghantar SMS kepada pelanggan/bakal pelanggan bagi menawarkan perkhidmatan mereka. Bagi menggambarkan bagaimana ejen pihak ketiga palsu ini menjalankan aktiviti penipuan mereka, kami kongsikan dua kes sebenar untuk dijadikan pengajaran dan panduan bagi memerdekakan diri daripada modus operandi penipuan pihak ketiga ini.

Untuk kes pertama yang berlaku beberapa tahun yang lalu, seorang wanita telah diberikan pinjaman bernilai RM200,000 daripada penyedia kredit tetapi tidak lama selepas itu beliau mula mengalami masalah kewangan dan menghadapi kesukaran untuk membayar balik pinjaman. Beliau dihubungi oleh seorang ‘perunding’ yang mendakwa dirinya daripada AKPK dan menawarkan diri untuk membantunya menyelesaikan hutangya dengan bayaran perkhidmatan sebanyak 10% daripada nilai pinjaman. Tertarik dengan janji bahawa masalah kewangannya akan berakhir, beliau bersedia untuk membayar yuran perkhidmatan seperti yang dipersetujui. Mujurlah salah seorang saudaranya telah memberitahu mengenai perkhidmatan percuma AKPK dan selepas membuat pertanyaan dan semakan terus dengan pihak AKPK, beliau segera mendaftarkan diri ke Program Pengurusan Kredit AKPK dan tindakan ini telah menyelamatkan dirinya daripada kerugian sebanyak RM20,000.

Dalam kes kedua yang berlaku baru-baru ini, seorang pelanggan menerima SMS yang menasihatinya untuk membuat pinjaman peribadi untuk menyelesaikan kesemua baki kad kreditnya yang tertunggak. Selepas beliau mendapat pinjaman peribadi dan menjelaskan baki kad kreditnya, beliau memohon had kredit yang lebih tinggi daripada bank dengan bantuan ‘ejen’ yang membantunya untuk membuat permohonan. Apabila permohonannya diluluskan, beliau memaksimumkan had kreditnya melalui tunai atas panggilan dan menggunakan semua kad kreditnya. ‘Ejen’ itu kemudiannya membantunya memohon dengan AKPK untuk mendaftar Program Pengurusan Kredit dan memberitahu bahawa program ini adalah pinjaman khas daripada Bank Negara Malaysia. Pelanggan malang itu, atau lebih tepatnya mangsa, telah membayar hampir RM20,000 kepada ejen tersebut sebagai bayaran perkhidmatan yang telah diberikan.

Perkhidmatan Percuma

Sebagai sebuah agensi yang menawarkan perkhidmatan secara PERCUMA kepada semua individu dan PKS, AKPK menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak terpedaya dengan individu yang mengaku sebagai ejen AKPK yang mengenakan bayaran untuk perkhidmatan yang sepatutnya boleh diperolehi secara percuma. AKPK ingin juga menasihati orang ramai untuk merujuk institusi kewangan yang sah dan badan berautoriti bagi mendapatkan perkhidmatan atau nasihat kewangan agar tidak mudah ditipu oleh pihak ketiga ini.

Mudah Sahaja Caranya

Sebenarnya, amat mudah untuk berurusan dengan AKPK. Bagi perkhidmatan nasihat kewangan serta penjadualan semula hutang isi rumah dan PKS, pelanggan mempunyai dua cara untuk mendapatkan perkhidmatan AKPK. Cara yang pertama adalah melalui perjumpaan secara bersemuka dengan pegawai AKPK dimana pelanggan boleh mengunjungi mana-mana 11 cawangan dan pejabat khidmat nasihat kewangan di seluruh negara (layari www.akpk.org.my untuk mengetahui lokasi cawangan dan pejabat kaunseling AKPK), atau pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan AKPK melalui pautan perkhidmatan dalam talian sehenti AKPK di services.akpk.org.my. Melalui laman web ini, pelanggan boleh mengakses perkhidmatan AKPK dengan menghantar borang dalam talian yang telah dilengkapkan untuk dihubungi oleh penasihat kewangan AKPK.

Perkhidmatan Lain Yang Disediakan

AKPK juga menyediakan perkhidmatan Pendidikan Kewangan yang boleh dimanfaatkan oleh semua individu isi rumah mahupun PKS. Perkhidmatan ini boleh diakses daripada laman web power.akpk.org.my yang menyediakan pelbagai modul pendidikan kewangan serta laman web ask.akpk.org.my untuk pelbagai bahan pembelajaran kewangan— semuanya tersedia secara dalam talian. Kami juga mengalu-alukan mana-mana organisasi yang berhasrat menjemput kami untuk memberikan taklimat pengurusan kewangan kepada kakitangan mereka.

Untuk sebarang maklumat tentang pengurusan kewangan termasuklah panduan dan pautan kepada semua perkhidmatan AKPK, anda juga boleh melayari laman media sosial rasmi AKPK, iaitu @AKPKofficial di Facebook, Instagram, Twitter dan terbaharu di LinkedIn dan TikTok.

Mengenai AKPK

AKPK menyediakan perkhidmatan Pendidikan Kewangan yang boleh dimanfaatkan oleh semua individu isi rumah mahupun Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS). Perkhidmatan ini boleh diakses daripada laman web power.akpk.org.my yang menyediakan pelbagai modul pendidikan kewangan serta laman web ask.akpk.org.my untuk pelbagai bahan pembelajaran kewangan— semuanya tersedia secara dalam talian. Kami juga mengalu-alukan mana-mana organisasi yang berhasrat menjemput kami untuk memberikan taklimat pengurusan kewangan kepada kakitangan mereka.
Selain itu, AKPK juga memberikan khidmat nasihat kewangan kepada mereka yang menghadapi masalah dalam bayaran balik pinjaman serta menawarkan bantuan melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) untuk individu, dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK) untuk PKS dan perusahaan mikro. Melalui program dan skim ini, AKPK membantu untuk membuat rundingan dengan pihak bank atau pemberi kredit untuk menstrukturkan semula bayaran balik pinjaman dan merumuskan satu pelan bayaran balik pinjaman/pembiayaan baharu mengikut kemampuan semasa peminjam/pelanggan.

Semua khidmat nasihat kewangan dan pengurusan kredit kami adalah percuma dan kami tidak pernah melantik ejen atau pihak ketiga untuk berurusan bagi pihak kami. Berhubunglah terus dengan AKPK dan jangan terpedaya dengan panggilan atau tawaran pihak ketiga yang mendakwa sebagai kakitangan AKPK atau menawarkan perkhidmatan dengan bayaran/caj tambahan. Layari services.akpk.org.my untuk mengakses perkhidmatan AKPK dengan menghantar borang dalam talian yang telah dilengkapkan untuk dihubungi oleh penasihat kewangan AKPK.
Rujukan bagi modus operandi jenayah kewangan terkini menggunakan perisian malware dicapai dari laman web BNM di https://www.bnm.gov.my/-/bnm-meningkatkan-kerjasama-dengan-bank-bank-dan-agensi-penguatkuasaan-undang-undang-bagi-membanteras-modus-operandi-terbaharu-oleh-penipu-kewangan

Join our Telegram to get the latest from Smart Investor
Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Recent Posts

Related Posts

Smart Investor Newsletter

Get Our Latest Articles And More Delivered To Your Inbox!