Smart Investor Malaysia

Previous
Next

Letak Isteri Sebagai Penama Takaful?

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Kebanyakan orang, terutamanya pencari nafkah keluarga akan mempunyai perlindungan Takaful. Kita biasa menyangkakan bahawa sekiranya kita meninggal dunia atau mengalami kehilangan upaya yang kekal, maka Takaful akan membayar sekian jumlah untuk menjaga keperluan kewangan waris yang ditinggalkan.

Namun, bergantung kepada situasi, ianya mungkin tidak seperti yang kita sangkakan. Jom tengok contoh berikut untuk memahami beberapa senario yang boleh berlaku, dan cara untuk mengatasinya.

Isteri Sebagai Penama Takaful

Ali seorang jurutera berkahwin dengan Anita yang merupakan surirumah. Beliau menjaga dua orang anak mereka iaitu Abu yang berumur 5 tahun dan Aminah yang berusia 7 tahun.

Ali ingin terus menyediakan duit untuk perbelanjaan pendidikan tinggi apabila mereka dewasa nanti, sekiranya beliau meninggal dunia di usia muda. Maka beliau pun mendapatkan perlindungan hibah Takaful yang bernilai RM1 juta dan meletakkan nama Anita sebagai penerima tunggal sijil tersebut.

Tetapi akan timbul beberapa kerisauan apabila meletakkan isteri sebagai penama takaful, iaitu siapa yang akan terima jumlah RM1 juta tersebut sekiranya:

  • Saya koma tak sedarkan diri atau mempunyai penyakit mental?
  • Selepas pemergian saya, isteri saya pula meninggal sebelum anak-anak mencapai umur 18 tahun?
  • Saya dan isteri meninggal dunia bersama-sama dalam kemalangan?

Berat juga kan situasi di atas? Pasti ada yang merasakan perkara tersebut tidak akan berlaku kepada diri sendiri.

Dalam situasi Ali, mempunyai hibah Takaful sebanyak RM1 juta adalah permulaan yang baik. Ianya boleh digunakan untuk membantu orang yang tersayang apabila duit tersebut dibayar kepada Anita dalam masa beberapa minggu selepas pemergian Ali, kerana meletakkan nama isteri sebagai penama takaful.

Tidak seperti peninggalan Ali yang lain seperti wang tunai, saham atau hartanah yang akan menjadi beku selepas kematiannya. Ia mungkin ambil masa beberapa tahun untuk mengagihkan harta-harta tersebut kepada waris.

Jom kita tengok beberapa kemungkinan bagaimana wang RM1 juta tersebut diterima dan digunakan untuk ketiga-tiga senario tersebut. Juga penyelesaian mudah kepada Ali bagi memastikan hibah Takaful tersebut boleh digunakan untuk objektif yang telah ditetapkan, selain daripada meletakkan isteri sebagai penama takaful semata-mata.

1. Kebanyakan perlindungan Takaful datang sekali dengan manfaat kematian dan hilang upaya kekal. Sekiranya Ali mengalami koma atau mengalami penyakit mental disebabkan kemalangan, beliau akan diberikan RM1 juta tersebut.

Tetapi adakah RM1 juta ini berguna untuk keluarga beliau?

Ianya bergantung kepada jenis akaun bank yang dimasukkan duit tersebut. Sekiranya wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun simpanan peribadi, siapa yang mempunyai akses ke atas RM1 juta tersebut sekiranya Ali merupakan satu-satunya orang yang tahu nama pengguna dan kata laluan akaun bank tersebut?

Maka duit tersebut akan ‘tersangkut’ dan tiada bantuan yang boleh diberikan kepada ahli keluarga beliau.

2. Sekiranya wang RM1 juta tersebut dimasukkan ke dalam akaun bersama Ali dan Anita, Anita akan memiliki akses sepenuhnya kepada wang tersebut. Adakah masalah akan selesai? Mungkin tidak, kerana Anita berkemungkinan salahguna duit tersebut.

Ini boleh jadi disebabkan oleh terlebih belanja, ditipu scammers adan gagal dalam perniagaan dan pelaburan. Tetapi Ali juga boleh meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada Anita untuk mengurus kewangan dengan bijak.

Tetapi bagaimana sekiranya Anita pula meninggal dunia selepas itu? Sekiranya ini berlaku, apa pula penyelesaiannya?

insurance

Sekiranya Anita pula yang meninggal dunia sebelum anak-anak beliau mencapai umur 18 tahun, maka baki daripada RM1 juta tersebut akan menjadi sebahagian daripada harta peninggalan Anita dan perlu diagihkan mengikut undang-undang.

Sekiranya beliau ada menulis wasiat, maka ianya akan diagihkan berdasarkan wasiat tersebut. Sekiranya tiada wasiat, maka perlu melalui faraid.

Bagaimana Abu dan Aminah nak dapatkan wang tersebut, sekiranya mereka di bawah umur 18 tahun?

Maka Ali dan Anita perlu ada pemegang amanah yang boleh membantu Abu dan Aminah menyimpan dan mengurus duit tersebut sehinggalah mereka mencapai umur 18 tahun.

Maka persoalan seterusnya, siapakah yang sepatutnya menjadi pemegang amanah? Adakah pakcik atau makcik mereka? Di sebelah ayah atau di sebelah mak?

Ini boleh menimbulkan konflik dan ketegangan pula di kalangan saudara-mara Ali dan Anita.

Maka jumlah RM1 juta tersebut perlu menjadi sebahagian daripada harta peninggalan Ali. Maka ianya perlu diagihkan berdasarkan kehendak Ali. Namun pada kebiasaannya, seorang suami akan meletakkan isteri sebagai penama takaful dan pelaksana tunggal.

insurance

Pertama sekali, jumlah RM1 juta tersebut perlu disimpan dengan syarikat Takaful Ali untuk tempoh 12 bulan sehinggalah seorang pemegang amanah bagi Abu dan Aminah dilantik.

Katakanlah waris Ali dan Anita tidak boleh mendapatkan keputusan tentang siapa pemegang amanah yang sesuai, maka wang RM1 juta tersebut akan dipindahkan ke pemegang amanah awam, iaitu Amanahraya Trustees Bhd.

Wang tersebut akan disimpan sehingga Abu dan Aminah mencapai umur 18 tahun, di mana mereka layak untuk menerima harta pusaka. Walaubagaimanapun, ianya akan menyebabkan tiga masalah utama bagi kedua-dua mereka iaitu:

  • Siapa akan menyara kehidupan Abu dan Aminah sebelum mereka mencapai umur 18 tahun?
  • Adakah Abu dan Aminah tahu tentang harga pusaka tersebut?
  • Sekiranya mereka tahu, bagaimana mereka nak urus harga pusaka itu nanti?

Oleh itu, mempunyai hibah Takaful saja tidak cukup. Jawapannya adalah dengan membuat Surat Ikatan Amanah Takaful.

Ianya bertujuan untuk hibah Takaful RM1 juta tersebut dan amanah untuk mengurus wang tersebut berdasarkan niat Ali sekiranya berlaku perkara yang ditetapkan di dalam dokumen surat ikatan.

Begini caranya:

1. Ali membuat hibah Takaful dengan nilai RM1 juta

2. Ali meletakkan penama sebagai Ikatan Amanah Takaful

3. Ali boleh lantik Anita, Abu dan Aminah sebagai penerima Ikatan Amanah Takaful tersebut

4. Ali juga boleh tetapkan bagaimana wang RM1 juta tersebut akan diagihkan kepada semua penerima.

Sebagai contoh, Ali boleh tetapkan seperti berikut:

  • RM200,000 diagihkan kepada Anita sebaik saja Ikatan Amanah Takaful ini terbentuk
  • RM5,000 sebulan kepada Anita untuk menyara anak-anak mereka, sehingga nilai RM400,000 habis
  • RM200,000 kepada Abu untuk menyambung pengajian di universiti
  • RM200,000 kepada Aminah untuk menyambung pengajian di universiti

Pertama, sekiranya Ali hilang upaya kekal, syarikat Takaful akan membayar RM1 juta kepada pemegang amanah. Maka, wang tersebut tidak akan stuck di dalam akaun simpanan peribadi.

Kedua, pemegang amanah tersebut akan mengurus wang tersebut berdasarkan niat Ali dengan penuh integriti. Dengan ini, pemegang amanah tidak boleh sesuka hati melabur ke dalam saham, hartanah atau apa-apa perniagaan. Ini dapat mengurangkan risiko dana tersebut disalahguna.

Ketiga, sekiranya Anita pula meninggal dunia selepas Ali, maka Ali boleh masukkan satu klausa yang membenarkan pemegang amanah untuk mengagihkan wang secara terus kepada Abu dan Aminah. Ini bagi memastikan anak-anak mereka akan terjaga daripada segi kewangan walaupun Ali dan Anita meninggal dunia sebelum anak-anak mereka cukup umur 18 tahun.

Mungkin situasi anda berbeza, maka gunakanlah khidmat seorang perancang harta pusaka yang bertauliah.

Sekarang anda dah tahu kelemahan meletakkan isteri sebagai penama takaful?

Jemput baca juga:

Join our Telegram to get the latest from Smart Investor
Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Recent Posts

Related Posts

Smart Investor Newsletter

Get Our Latest Articles And More Delivered To Your Inbox!