Smart Investor Malaysia

Previous
Next

Keistimewaan Menyimpan Emas Yang Kalis Inflasi Dan Sebagai Langkah Berdepan Dengan Kejatuhan Ringgit

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Seperti yang kita sedia maklum, emas yang kalis inflasi mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Sepanjang zaman, ada banyak tamadun yang pasti terpikat dengan logam kuning berharga ini.

Emas dianggap bernilai kerana ianya mempunyai sifat-sifat berikut:

  • Ia tidak mudah dijumpai
  • Ia tidak akan berkarat, dan tidak toksik
  • Ia adalah logam yang indah
  • Ia mudah dibentuk
  • Ia merupakan konduktor elektrik yang baik

Kegunaan emas tidak terbatas kepada hanya barang kemas dan duit syilling. Kegunaan perindustriannya sangat banyak dan menjadikan permintaan emas tinggi di seluruh dunia.

Ia digunakan untuk perlindungan kekayaan dan pertukaran kewangan, hiasan, barang kemas dan pingat, dalam peralatan elektronik, penerokaan ruang angkasa dan dalam bidang perubatan dan pergigian.

Seringkali kita dengar sifat emas yang kalis inflasi, jadi jom kita tengok beberapa kelebihan menyimpan emas sebagai perlindungan kekayaan dalam penulisan ini.

Pada saat ini, kejatuhan nilai mata wang Ringgit berada pada paras sekitar RM4.4 berbanding dengan satu Dolar A.S. Ini menyebabkan Ringgit telah susut sebanyak 4.9% pada suku ketiga tahun 2022 dan Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan inflasi akan terus meningkat pada tahun 2023 ini.

Melihat kepada kos harga barangan dan kos perniagaan yang terus melonjak ekoran penyusutan berterusan wang Ringgit, Tun Dr Mahathir bin Mohamad sebelum ini telah mencadangkan supaya nilai Ringgit sekali lagi ditambat kepada Dolar Amerika Syarikat (USD).

Baca: Pelaburan Emas Daripada Perspektif Islam, 6 Cara Untuk Melabur Emas

Tidak Kepada Tambatan Ringgit

Cadangan ini dilihat tidak dipersetujui oleh Gabenor BNM sendiri iaitu Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus atas faktor ingin membenarkan kadar pertukaran yang lebih fleksibel diamalkan dalam mengimbangi penyesuaian terhadap sebarang kejutan luaran dengan lebih baik. Ia juga untuk memudahkan dasar penetapan monetari negara.

Bekas Menteri Kewangan kedua, Datuk Seri Haji Johari bin Abdul Ghani pula mengatakan bahawa tambatan ringgit bukanlah suatu langkah yang ideal untuk dilaksanakan kerana mempunyai kesan negatif yang besar kepada ekonomi dalam masa jangka panjang. Beliau mengingatkan bahawa Malaysia masih menanggung kesan akibat daripada Ringgit ditambat kepada Dolar Amerika lebih 20 tahun lalu apabila Ringgit tidak lagi diperdagangkan di peringkat antarabangsa.

Gesaan menambat Ringgit kepada Dolar A.S menurut Dr. Sukudhew Singh (Bekas Timbalan Gabenor BNM), berpotensi mendorong negara ke dalam krisis kewangan dan tidak wajar dipandang ringan. Beliau juga berkata apa yang sering terlupa untuk dinyatakan adalah apabila Ringgit ditambat pada dolar A.S, negara kita perlu mempertahankan tambatan itu.

Menambat mata wang akibat penyusutan nilai merupakan mimpi ngeri buat pelabur di negara ini juga pada mereka yang berniat ingin melabur ke dalam Malaysia. Selain daripada itu, ia juga menyebabkan negara kehilangan kedaulatan monetari dalam mengurus dasar monetari berpandukan keadaan ekonomi negara kita sendiri, dan bukannya kepada keadaan ekonomi negara yang menjadi sandaran kepada tambatan Ringgit tersebut.

Tidak kurang juga ada yang berpendapat belenggu tekanan kos sara hidup dapat diakhiri jika sistem mata wang ciptaan A.S yang dipaksakan pelaksaannya ke atas seluruh negara sejak tahun 1971 lagi dihentikan. Atau jika nilai mata wang hari ini disandarkan pada sebarang komoditi berharga seperti emas dan perak dan bukan kepercayaan membuta tuli terhadap wang fiat.

Amalan riba secara besar-besaran yang tercetus daripada penggunaan wang fiat telah menyebabkan ketidakadilan dan penindasan kuasa besar ekonomi dunia terhadap masyarakat dunia.

Baca: 6 Cara Nak Berdepan Dengan Inflasi Di Malaysia

Kelebihan Menyimpan Emas Yang Kalis Inflasi

Tun Dr Mahathir yang merupakan penyokong tegar komoditi emas pernah mencadangkan penggunaan dinar emas dan sistem barter dikembalikan semula disebabkan sifat emas yang kalis inflasi. Hasil daripada saranan dan usaha beliau telah membuat ramai dikalangan para pemimpin Islam, penganalisis ekonomi, ahli akademik dan para cendekiawan Islam untuk kembali meneliti dan mengkaji kewajaran penggunaan dinar emas.

Menurut Tun Dr Mahathir, emas mempunyai nilai berbeza di setiap negara namun jika ianya digunakan sebagai mata wang dunia, perdagangan antarabangsa tidak akan terjejas. Hal ini kerana ia tetap boleh dijalankan dengan mudah berdasarkan kepada nilai emas semasa negara tersebut.

Beliau turut menyuarakan kekecewaannya mengenai perdagangan antarabangsa yang hanya boleh dijalankan menggunakan satu jenis mata wang sahaja, dan gagal mengambil manfaat daripada emas yang kalis inflasi.

Selain daripada itu, penggunaan dinar emas dilihat sebagai mengembalikan era kegemilangan Islam dan menjadi salah satu medium untuk menyatukan para pemimpin Islam sedunia. Langkah ini disokong oleh Sheikh Umar Ibrahim Vadillo yang berpendapat dinar emas mampu menjadi kaedah utama pembayaran kerana terdapat lebih satu bilion umat Islam di dunia pada ketika ini.

Vadillo mengakui walaupun agak sukar untuk orang ramai termasuk umat Islam sendiri untuk menerima dinar emas sebagai kaedah pembayaran, namun perkara ini dilihat tidak mustahil.

Buat masa ini, individu disarankan untuk menjadikan simpanan emas sebagai salah satu alternatif dan usaha bagi membantu menangani kesan kos sara hidup yang kian meruncing. Fenomena kejatuhan nilai ringgit dapat memberi kelebihan kepada para penyimpan emas kerana emas dilihat sebagai salah satu usaha menghadapi inflasi.

Penurunan atau peningkatan harga emas tetap memberikan kelebihan pada penyimpannya. Justeru itu, emas dikatakan sesuai dijadikan sebagai simpanan jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang, kerana sifat emas yang kalis inflasi tersebut.

Apabila emas dibeli, kita sebenarnya mengalihkan sejumlah duit dalam bentuk emas kerana emas itu sendiri adalah wang. Ia juga aset yang mudah cair dan diterima di seluruh dunia. Jika wang Ringgit diperlukan dengan segera, emas boleh dijual, digadaikan ataupun dipajak (Ar-Rahnu) bagi mendapatkan pinjaman.

Walaupun negara sedang mengalami inflasi, namun nilai emas tidak mudah terjejas dengan inflasi tersebut selagimana ia dijadikan simpanan. Malah amat menguntungkan sesiapa yang menjadikannya sebagai aset kerana harganya tidak mudah turun disebabkan inflasi.

Emas juga dianggap sebagai pengekal kekayaan dan dapat mengelak daripada berlakunya kebocoran wang bagi mereka yang sukar menyimpan atau boros berbelanja. Maka, emas adalah merupakan salah satu cara menyimpan wang yang terbaik.

Lagipun, hal ini sememangnya benar bagi sesetengah orang kerana emas tidak mudah untuk dibelanjakan kerana ia perlu ditukar kepada wang tunai terlebih dahulu. Itulah di antara kelebihan emas yang kalis inflasi.

Sifat emas yang kalis inflasi memang diperakui, tetapi berapa ramai yang sudah mengambil langkah untuk menyimpan emas hari ini?

Baca: Pelaburan Terbaik 2023: Menjelang Kegawatan Ekonomi

Mengenai Penulis

Azah Atikah Binti Anwar Batcha mempunyai latar belakang Perakaunan, Kewangan, Pengauditan dan Kewangan Islam. Beliau pernah bekerja dengan dua firma perakaunan terbesar di dunia sebelum melanjutkan pengajian pascasiswazah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur. Beliau boleh dihubungi di aaabwrite@gmail.com

Join our Telegram to get the latest from Smart Investor
Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
Previous
Next

Recent Posts

Related Posts

Smart Investor Newsletter

Get Our Latest Articles And More Delivered To Your Inbox!