Smart Investor Malaysia

Previous
Next

Jangan Melabur Kripto

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Ah sudah, macam pelik pula kata jangan melabur kripto. Sebab itulah pentingnya kita ada ilmu sebelum nak terlibat dalam mana-mana pelaburan.

Berjudi, Spekulasi, Berdagang atau Melabur?

Pertama sekali, tanya diri anda apakah objektif anda dalam pelaburan kripto. Adakah ianya untuk merancang kewangan, di mana kripto merupakan sebahagian daripada portfolio untuk objektif kewangan seperti tujuan persaraan atau pendidikan anak-anak.

Atau sekadar nak cepat kaya? Spekulasi harga akan naik, kemudian anda jual? Atau boleh jadi juga kita sedang berjudi.

Kita ambil contoh lumba kuda, di mana orang ramai akan bercerita tentang kuda mana yang hebat dan yang mana dijangka akan menang. Begitu juga halnya dalam pasaran spekulasi kripto, di mana ada pelbagai cerita dan ‘hype’ tentang rantaian blok atau topik terhangat ketika ini – Metaverse dan NFT.

Oleh itu jangan melabur kripto sebelum anda fahamkan betul-betul beberapa perkara.

Mitos Di Sebalik Desentralisasi

“Saya ingin bebas!”

Ramai orang inginkan kebebasan, terutamanya golongan muda. Sedikit kebebasan pada dasarnya adalah bagus, tetapi apa yang bakal terjadi sekiranya berlaku kebebasan yang tak terkawal?

Tiada siapa yang suka dikawal. Tetapi apabila anda tinggal di kawasan tanpa sebarang kawal selia kerajaan, pasti akan ada mafia berkeliaran. Dalam erti kata lain, akan ada kongsi gelap yang mengawal kawasan tersebut. Adakah ianya selamat untuk didiami?

Di sebalik desentralisasi, kerajaan mempunyai kawalan ke atas dasar monetari. Di sinilah peranan Bank Pusat dan pihak kerajaan bekerja keras untuk memastikan semuanya berada dalam keadaan terkawal.

Tetapi ada yang akan berkata bahawa teknologi rantaian blok di dalam Kripto memainkan peranan sebagai ketelusan dan sejenis ‘pentadbiran sendiri’. Memang tidak dinafikan bahawa rantaian blok adalah satu teknologi yang baik untuk perkhidmatan kewangan. Tetapi orang ramai sering keliru bahawa Kripto dan rantaian blok adalah dua perkara berbeza.

Setakat Mac 2022, ada 87 buah negara yang sedang meneroka untuk memperkenalkan Central Bank Digital Currency (CBDC). CBDC mungkin akan guna rantaian blok atau Distributed Ledger Technology (DLT), tetapi CDBC berbeza dengan Kripto di mana CBDC adalah mata wang yang sah diperlakukan dan di bawah sesebuah bank pusat. Bukannya seperti Kripto yang bukan mata wang sah dan tidak mempunyai nilai intrinsik.

Menurut Bank Negara Financial Sector Blueprint 2022-2026, Bank Negara Malaysia sedang meneroka CBDC bermula dengan Fasa 1 Projek Dunbar.

Gambar: Perbandingan CBDC, stablecoins dan non-backed digital assets

Sumber: Financial Stability Board (2020), “Enhancing Cross-Border Payment System : Stage 1 Assessment Report to G20”

Kripto Sebagai Mata Wang Yang Sah Di Masa Hadapan?

Menurut BIS Annual Economic Report 2018, mata wang kripto yang mengamalkan konsep desentralisasi seperti Bitcoin, setiap pengguna perlu memuat turun dan mengesahkan semua transaksi yang pernah dijalankan. Ini mempunyai kesan dalam memperlahankan masa pemprosesan transaksi, menjadikannya tidak bagus untuk urusan bayaran seharian.

Berbanding dengan rangkaian kad antarabangsa terkemuka yang boleh proses 2,000 ke 3,500 transaksi sesaat, Bitcoin hanya boleh proses 3.3 transaksi sesaat. Kebanyakan mata wang kripto tidak mungkin digunakan untuk bayaran kerana ianya tidak menunjukkan ciri-ciri mata wang.

Disebabkan turun naik harga yang cepat, kelemahan terhadap serangan siber dan kebolehskalaan yang rendah, maka ianya bukanlah medium yang bagus untuk menyimpan nilai, kaedah bayaran atau sebagai pertukaran.

Maka jangan melabur kripto kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan. Atau hanya melabur apa yang anda sanggup rugi sepenuhnya.

Terhad, Betul Ke?

Orang ramai sering menggambarkan Bitcoin sebagai Emas Digital dengan maksimum 21 juta Bitcoin saja yang akan dihasilkan. Maka Bitcoin mempunyai ciri-ciri unik yang menjadikannya terhad.

Ada yang mengaitkan jumlah Bitcoin yang terhad dengan Emas. Ini kerana emas mempunyai bekalan yang terhad juga.

Tetapi emas mempunyai peranan yang besar sejak dari dulu lagi sebagai komoditi, barang kemas, alat untuk menyimpan nilai, pertukaran barang, komponen teknologi, mata wang dan bermacam-macam lagi. Ianya juga disimpan oleh kejaraan dan bank pusat di dalam rizab negara.

Tetapi emas adalah sumber semula jadi yang bukan dicipta oleh manusia. Maka tiada jenis emas lain yang wujud. Sedangkan Kripto dicipta oleh manusia dan ada lebih daripada 19,000 mata wang kripto yang ada sehingga ke hari ini.

Maka adakah ‘terhad’ tersebut adalah tepat? Maka mungkin tidak tepat untuk membandingkan mata wang kripto dengan emas daripada segi terhad atau ‘limited edition’.

Jangan Melabur Kripto

Kesimpulannya, jangan melabur kripto sekiranya matlamat anda tidak jelas. Adakah anda sedang berjudi, spekulasi, berdagang atau melabur?

Maka perlu buat usaha wajar sebelum nak gunakan duit anda dan terlibat dalam mana-mana pelaburan kripto. Pastikan anda fahamkan betul-betul risiko yang terlibat, baru tengok kepada potensi pulangannya.

Tentang Penulis

John Chan Ninyii
FAR CMSRL BEng RFP ShRFP MBA PJM
CEO of YES Financial Sdn Bhd
Bank Negara Approved Financial Adviser
Securities Commission Capital Markets Services Licensed Firm
Emel: john.chan@yesfinancial.co

Join our Telegram to get the latest from Smart Investor
Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Recent Posts

Related Posts

Smart Investor Newsletter

Get Our Latest Articles And More Delivered To Your Inbox!