Pasti ramai yang tertanya-tanya apa nak buat dengan duit lebihan. Sama ada nak hidup tanpa hutang vs simpan untuk persaraan. Ini kerana salah satu daripada aspek perancangan kekayaan adalah mengurus hutang.
Kebanyakan rakyat Malaysia juga mempunyai mindset untuk memberi keutamaan di dalam pembayaran hutang berbanding menyimpan untuk bersara.
Smart Investor tanya beberapa pakar kewangan mengenai topik menarik ini: hidup tanpa hutang vs simpan untuk persaraan.
Simpan Untuk Persaraan Lebih Penting
Kenney Khew, Perancang Kewangan Berlesen, Phillip Wealth Planners Sdn Bhd
Dalam isu hidup tanpa hutang vs simpan untuk persaraan, kedua-dua hutang dan simpanan adalah penting kerana ianya akan meningkatkan nilai bersih (net worth) kita.
Namun, secara peribadi saya beri keutamaan kepada simpanan persaraan kerana kadar inflasi yang tinggi. Lagipun, merancang untuk tempoh 20-30 tahun akan datang adalah lebih penting berbanding hutang sedia ada.
Tetapi sekiranya DSR atau Debt to Service Ratio anda (bayaran hutang tahunan/gaji bersih tahunan) melebihi paras 35% dan DAR atau Debt to Service Ratio anda (jumlah liabiliti/jumlah aset) melebihi paras 50%, maka boleh pertimbangkan untuk bayar hutang terlebih dahulu.
Hutang Adalah Murah
Steve Lim, Chief Learning Officer, Affin Hwang Asset Management
Saya rasa ianya bergantung kepada kos hutang seseorang individu berbanding dengan pulangan pelaburan. Katakan saya boleh jana pulangan sebanyak 12% setahun untuk jangka masa panjang, maka saya akan simpan untuk persaraan berbanding bayar hutang dengan kadar 4% setahun.
Sudah tentu anda boleh selesaikan hutang dengan lebih awal, tetapi anda hanya jimat 4% dan terlepas peluang untuk menjana 8% apabila ditolak perbezaan di antara kedua-duanya.
Tetapi sekiranya anda seorang pelabur konservatif dan pulangan pelaburan sekitar 5-6% setahun, makan tidak banyak beza bayar hutang dengan kadar faedah 4% setahun.
Fahamkan dahulu hutang anda sebelum belajar mengurusnya. Sebagai contoh, beri tumpuan kepada penyelesaian hutang jangka masa pendek seperti kad kredit dan kereta, berbanding hutang rumah. Ini kerana kesan daripada anda tak bayar hutang jangka masa pendek adalah lebih besar.
Hutang rumah sebaliknya adalah hutang jangka masa panjang, dan sekiranya anda mempunyai simpanan 6 bulan ke setahun, anda masih boleh membayarnya walaupun telah hilang pekerjaan.
Keseimbangan
Yong Chu Eu, Penasihat Kewangan Berlesen, Fin Freedom Sdn Bhd
Kedua-duanya adalah penting, daripada pening kepada memikirkan hidup tanpa hutang vs simpan untuk persaraan, apa kata kita seimbangkan pembayaran balik hutang dan mempunyai wang yang cukup untuk bersara.
Sekiranya anda bebas hutang menjelang persaraan tetapi tiada simpanan, maka anda sukar untuk mengurus perbelanjaan nanti.
Sebaliknya pula, sekiranya anda ada simpanan yang cukup tetapi masih mempunyai tahap hutang yang tinggi menjelang persaraan nanti, maka kebanyakan duit anda diperlukan untuk bayar hutang tersebut.
Itulah sebabnya anda perlu seimbangkan kedua-duanya sekali.
Cara terbaik adalah dengan bayar hutang mengikut kadar yang telah ditetapkan, dan pastikan jumlah hutang anda tidak lebih daripada 40% gaji bulanan.
Labur sebarang lebihan ke dalam instrumen pelaburan yang anda percaya dan yakin, tetapi pastikan pulangannya adalah lebih tinggi daripada kadar faedah.
Peraturan Belanjawan 50/30/20
Gor Sheau Shuenn, Perancang Kewangan Berlesen, Blueprint Planning Sdn Bhd
Izinkan saya perkenalkan peraturan belanjawan 50/30/20 seperti berikut:
- 50% daripada gaji digunakan untuk bayar hutang rumah, penyelenggaraan dan takaful rumah, perlindungan takaful keluarga, hutang kereta, takaful kereta dan penyelenggaraan, dan lain-lain komitmen yang besar
- 30% daripada gaji digunakan untuk beli barang keperluan, makan di luar, hiburan, dan lain-lain perbelanjaan sendiri dan keluarga
- 20% daripada gaji digunakan untuk simpanan, di mana 50% disimpan untuk persaraan dan baki 50% untuk sasaran kewangan lain dan kecemasan. Ini adalah tambahan kepada simpanan KWSP
Sebagai contoh, katakan anda berumur 25 tahun sekarang, dengan melabur RM500 sebulan ke dalam instrumen yang beri pulangan 7% setahun – dalam masa 10 tahun anda mempunyai RM86,500 dalam masa 20 tahun atau apabila berusia 45 tahun, anda ada RM260,500.
Dengan menggunakan Peraturan 72, duit anda akan berganda setiap 10 tahun. Menjelang usia 65 tahun, anda telah pun mempunyi RM1 juta, walaupun anda berhenti menyimpan secara bulanan ketika berusia 45 tahun.
Setelah mendengar perkongsian daripada mereka yang pakar, anda dah tahu nak buat apa apabila berdepan dengan soalan: hidup tanpa hutang vs simpan untuk persaraan?