Smart Investor Malaysia

Previous
Next

Enam Penerima Merangkul Anugerah Merdeka 2022 Atas Sumbangan Cemerlang Buat Malaysia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bersempena ulang tahun ke-15 Merdeka Award Trust, enam penerima telah dinobatkan dengan anugerah berprestij Anugerah Merdeka 2022 atas kejayaan cemerlang dan sumbangan besar mereka kepada rakyat Malaysia dan negara.

Penerima Anugerah Merdeka 2022 mengikut kategori ialah:

Pendidikan dan Komuniti: Teach For Malaysia

Atas sumbangan cemerlang mereka dalam menyampaikan pendidikan berkualiti tinggi di sekolah-sekolah kerajaan, terutamanya sekolah-sekolah di luar bandar dan masyarakat kurang bernasib baik. Teach For Malaysia berpegang kepada prinsip bahawa pendidikan dan masa depan anak-anak kita tidak seharusnya ditentukan oleh latar belakang kehidupan mereka.

Alam Sekitar: Global Environment Centre (GEC)

Atas sumbangan cemerlang mereka dalam pengurusan hutan bakau, hutan paya gambut, sungai dan pantai, program perubahan iklim serta menjalin kerjasama pelbagai pihak yang membantu untuk memulihara dan melindungi alam sekitar dan sumber asli di Malaysia.

Pencapaian Ilmiah Cemerlang: Emeritus Professor Dato’ Dr. Siti Zuraina binti Abdul Majid, FASc

Atas sumbangan cemerlang beliau sebagai pakar sejarah dan pencapaian dalam menjadi ahli arkeologi Malaysia yang pertama, serta pencapaian dalam memacu usaha ke arah pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO.

Kesihatan, Sains dan Teknologi: Dato’ Professor Dr. Adeeba Kamarulzaman

Atas pencapaian dalam menjadi penggerak utama untuk mengurangkan penyebaran penyakit berjangkit seperti HIV/AIDS dan menggubal dasar serta menstruktur tindak balas yang membawa kepada pencegahan, rawatan dan pengurangan kes HIV/AIDS.

Sumbangan Cemerlang Buat Rakyat Malaysia: Dato’ Dr. Annabel Teh Gallop

Atas sumbangan cemerlang beliau dalam penyelidikan ilmiah, kurasi, pengarkiban dan pemuliharaan surat dan manuskrip Melayu serta mohor dan dokumen Melayu purba yang membawa kepada pemahaman yang lebih mendalam terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa perdagangan dan diplomasi di seluruh Kepulauan Melayu, di samping memberi pencerahan tentang warisan alam Melayu yang serba kaya.

Anugerah Merdeka tahun ini menampilkan kategori baharu, Anugerah Harapan Merdeka, yang mengiktiraf usaha rakyat Malaysia yang berusia 40 tahun dan ke bawah atau organisasi yang ditubuhkan kurang daripada 10 tahun. Buat julung kalinya, penerima sulung anugerah ini ialah:

Anugerah Harapan Merdeka: Samuel Isaiah

Atas sumbangan cemerlang serta komitmen beliau untuk meningkatkan dan memartabatkan taraf pendidikan dalam kalangan anak-anak Orang Asli, dan melatih para guru untuk meningkatkan kualiti pendidikan secara keseluruhannya.

Tahun ini, pencarian para penerima anugerah telah dianjurkan secara meluas, di Malaysia dan di peringkat antarabangsa. Lebih 300 individu dan organisasi berkaliber tinggi dan cemerlang serta memberi impak yang mampan dalam usaha kerja mereka telah dipertimbangkan dalam pemilihan penerima Anugerah.

Setakat hari ini, jumlah keseluruhan penerima Anugerah Merdeka sejak tahun 2008 adalah 57 individu dan enam organisasi. Setiap penerima Merdeka Award akan dianugerahkan dengan Piala Merdeka Award, Sijil Pengiktirafan dan hadiah wang tunai, manakala penerima Anugerah Harapan Merdeka akan dianugerahkan dengan Sijil Pengkitirafan dan hadiah wang tunai.

Pengasas Anugerah Merdeka – PETRONAS dan Shell – mengucapkan tahniah kepada para penerima atas usaha mereka yang wajar dicontohi, lebih-lebih lagi di ambang sambutan kemerdekaan Malaysia yang ke-65 pada tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Merdeka Award Trust, Datuk Tengku Muhammad Taufik, berkata: “Pengiktirafan anugerah Merdeka Award membuka jalan untuk kita memupuk kecemerlangan, meskipun di kala negara mengharungi cabaran yang belum pernah dilihat sebelum ini. Tokoh-tokoh penerima Anugerah Merdeka cekal meneruskan usaha murni mereka dengan penuh semangat, ke arah mencipta masa depan yang mampan untuk semua.”

Tambahan lagi, beliau berkata: “Mereka gigih meniupkan semangat ke dalam makna “Merdeka” di hati kita sekaligus membuktikan kecekalan Malaysia menempuhi ujian demi ujian, untuk terus bertahan dan bangkit menyahut panggilan untuk memupuk lagi keamanan, kemakmuran dan kemajuan negara tercinta ini.”

Sementara itu, Pengerusi Shell Malaysia dan Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka, Ivan Tan berkata: “Dedikasi berterusan dan usaha berani semua penerima Anugerah Merdeka dalam membawa perubahan untuk komuniti, masyarakat adalah benar-benar terpuji. Sebagai pelopor, mereka menyumbang kepada tunggak asas yang kukuh dalam menjanjikan masa depan yang lebih baik untuk Malaysia – dan usaha mereka pada hari ini membuka jalan untuk lebih ramai lagi antara kita, ke arah pencapaian yang lebih cemerlang pada hari esok.”

Dapatkan maklumat lanjut dan berita terkini anugerah Merdeka Award di:

Laman Web: www.merdekaaward.my

Facebook: http://j.mp/merdekaaward

Instagram: https://www.instagram.com/merdekaaward/

YouTube: http://bit.ly/merdekaawardyoutube

TENTANG ANUGERAH MERDEKA

Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka telah ditubuhkan oleh PETRONAS dan Shell pada 27 Ogos 2007, untuk mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada individu dan organisasi cemerlang di mana hasil kerja dan pencapaian mereka bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan negara tetapi turut memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia dalam kategori berikut: Pendidikan dan Masyarakat, Alam Sekitar, Kesihatan, Sains dan Teknologi, Pencapaian Ilmiah Cemerlang dan Sumbangan Cemerlang kepada Rakyat Malaysia. Pada tahun 2022, Anugerah Merdeka telah memperkenalkan kategori baharu iaitu Anugerah Harapan Merdeka, dengan tujuan untuk mengiktiraf usaha rakyat Malaysia yang berusia 40 tahun dan ke bawah atau organisasi di Malaysia yang ditubuhkan kurang daripada 10 tahun, dalam bidang Pendidikan dan Komuniti, Alam Sekitar, Kesihatan, Sains dan Teknologi.

Pemilihan nama anugerah ini, Anugerah Merdeka, mencerminkan matlamat Ahli Pengasas untuk memperingati semangat kemerdekaan sebenar, yang melangkaui makna konvensional yang mengertikan kedaulatan negara. Ia meneroka pembebasan minda dan semangat jiwa – faktor yang membuka mata kita tentang kehebatan potensi manusia dan perjuangan ke arah meraih kecemerlangan.

Melalui inisiatif lain di bawah Anugerah Merdeka, Geran Anugerah Merdeka bagi Penempatan Antarabangsa, bertujuan untuk mempromosikan kepimpinan pemikiran dan inovasi, memupuk budaya kecemerlangan dan menggalakkan sudut pandang berperingkat dunia, sekali gus meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai Pemain Global Abad Ke-21 yang dinamik dan berdaya saing merentasi semua sektor utama, daripada sains dan teknologi sehinggalah kesenian dan budaya.

Join our Telegram to get the latest from Smart Investor
Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Recent Posts

Related Posts

Smart Investor Newsletter

Get Our Latest Articles And More Delivered To Your Inbox!