Smart Investor Malaysia

Previous
Next

Cukai Untuk 6 Pelaburan Yang Ada Di Malaysia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Kita sering dengar pepatah “Jangan simpan semua telur anda di dalam satu bakul”. Dalam dunia pelaburan, ianya bermakna kita perlu melabur di dalam pelbagai portfolio, dari yang berisiko rendah (dengan pulangan rendah) sehinggalah yang berisiko tinggi (dengan potensi pulangan yang tinggi).

Namun ada dua perkara yang kita tak boleh elak dalam kehidupan – kematian dan cukai. Jom kita tengok berkenaan cukai untuk 6 jenis pelaburan yang ada di Malaysia.

1. Saham

Apabila melabur dalam pasaran saham, biasanya pelabur ingin meraih keuntungan sama ada menerusi kenaikan harga saham atau dividen. Untuk makluman, kenaikan harga saham adalah dikecualikan daripada cukai di bawah Malaysian Income Tax Act, 1967 (ITA).

Bagaimanapun, sekiranya aktiviti perdagangan saham dilakukan secara kerap, maka Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) boleh menganggapnya sebagai pendapatan yang boleh dikenakan cukai.

Manakala dividen yang diperolehi daripada syarikat telah pun dikenakan cukai di peringkat syarikat, maka kita sebagai pelabur tidak dikenakan cukai sebagai pemegang saham.

2. Amanah Saham

Pulangan daripada pelaburan di dalam amanah saham biasanya dalam bentuk pengagihan pendapatan atau kenaikan harga yang diperolehi daripada sekumpulan aset yang menyokong sesebuah dana anamah saham. Biasanya pemegang unit amanah saham akan dikenakan cukai ke atas pegangan mereka daripada jumlah keseluruhan pendapatan daripada amanah saham yang boleh dikenakan cukai.

Tetapi biasanya pengagihan yang diterima pemegang unit amanah saham adalah selepas ditolak cukai. Anda dinasihatkan untuk menyemak penyata dividen untuk mengenalpasti kredit cukai Seksyen 110. Pemegang unit berhak untuk menggunakan kredit cukai untuk mengimbangi sebarang cukai pendapatan.

Sekiranya kredit cukai melebihi liability cukai ke atas pemegang unit amanah saham, lebihan tersebut akan dipulangkan kepada pemegang unit.

3. Pendanaan Ramai Ekuiti (Equity Crowdfunding / ECF)

Syarikat kecil dan sederhana (SME) biasanya akan menggunakan ECF untuk mendapatkan dana daripada orang ramai. Pernah dengar istilah ‘angel investor’?

Biasanya angel investor disini adalah pelabur sofistikated yang mempunyai modal yang besar. Di Malaysia, angel investor diberikan insentif cukai dengan pengecualian cukai sehingga RM500,000 setahun bagi tahun kedua taksiran berikutan tahun sebelumnya di mana pelaburan tersebut dilakukan.

Ange investor perlu mendaftar dengan Malaysian Business Angel Network (MBAN) bagi memastikan kriteria kelayakan dipenuhi dan melayakkan mereka menerima gelaran angel investor (rujuk Public Ruling 12/2020, IRB).

4. Pembiayaan P2P (Peer-to-peer Financing / P2P Financing)

Pembiayaan P2P lebih kurang sama dengan pinjaman tradisional tetapi tanpa orang tengah dalam industri kewangan seperti bank atau institusi kewangan. Sebaliknya pelabur runcit dan pelabur lain yang akan ‘meminjamkan’ duit kepada syarikat yang inginkan modal untuk menjalankan perniagaan mereka.

Pelabur akan dapat pulangan dalam bentuk faedah, dan adakah faedah ini dikenakan cukai?

Jawapannya adalah ya, keuntungan dalam bentuk faedah ini adalah dikenakan cukai bagi penduduk Malaysia dan juga pelabur asing.

Pelabur dalam negara perlu mengisytiharkan faedah yang mereka terima di dalam borang cukai pendapatan tahun, manakala pelabur asing akan dikenakan cukai pegangan (withholding tax) sebanyak 15%.

5. Robo-Advisor

Ada juga pelabur yang lebih suka untuk membiarkan pihak ketiga uruskan pelaburan mereka. Kini anda boleh dengan adanya platform robo-advisor yang menggunakan algoritma bagi membolehkan pengurusan portfolio pelaburan dibuat secara automatik.

Biasanya robo-advisor melabur ke dalam dana dagangan bursa (exchange traded fund / ETF) yang merupakan kombinasi saham, sukuk dan pelaburan lain. Kebanyakan robo-advisor yang ada di Malaysia akan melabur ke dalam ETF global.

Kita perlu ambil tahu bahawa dividen daripada ETF luar negara akan dikenakan cukai pegangan (withholding tax) bergantung kepada negara. Tetapi pengagihan yang diperolehi daripada ETF asing adalah dikecualikan daripada cukai di Malaysia kerana ianya merupakan sumber pendapatan dari luar negara.

6. Mata Wang Kripto

LHDN ada maklumkan kepada orang ramai bahawa mata wang kripto adalah tertakluk kepada Seksyen 3 ITA, di mana keuntungan daripada perdagangan mata wang kripto yang kerap dijalankan akan dikenakan cukai. Tetapi seorang pelabur tidak dikenakan cukai pula.

Sehubungan dengan itu juga, LHDN baru-baru ini ada mengemaskini Guideline on Taxation of Electronic Commerce Transactions in 2019 dengan memasukkan mata wang kripto di bawah seliaan mereka. Ini bermakna LHDN adalah dibenarkan untuk mengutip cukai daripada keuntungan yang diperolehi daripada perdagangan mata wang kripto.

Tanpa sebarang peruntukan di dalam undang-undang cukai Malaysia berkenaan aset digital, pelabur mata wang kripto disarankan untuk menyimpan rekod transaksi dan sebarang dokumen berkaitan selama tujuh tahun sekiranya ada audit berkenaan cukai.

Itulah dia beberapa jenis cukai pelaburan yang ada, jangan pula anda lari daripada cukai selepas ini.

Mengenai Penulis

Shanthini Parama Dorai adalah Pengurus Kanan Cukai di Crowe Malaysia PLT. Crowe Malaysia PLT adalah firma ahli kepada rangkaian Crowe Global bagi firma-firma perakaunan bebas dan perkhidmatan nasihat. Beliau boleh dihubungi di shanthini.dorai@crowe.my.

Join our Telegram to get the latest from Smart Investor
Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Recent Posts

Related Posts

Smart Investor Newsletter

Get Our Latest Articles And More Delivered To Your Inbox!