Smart Investor Malaysia

Previous
Next

Apa Itu Tawaran Awal Bursa (IEO) Dan Patutkah Saya Melabur Ke Dalam IEO?

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Awal bulan Mac yang lalu, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengumumkan dua pengendali Tawaran Awal Bursa (IEO), iaitu Kapital DX Sdn Bhd dan Pitch Platforms Sdn Bhd, untuk menggalakkan inovasi yang bertanggungjawab dalam ruang aset digital. IEO juga dikenali sebagai Initial Exchange Offering.

Pengendali IEO yang berdaftar akan menyediakan laluan alternatif untuk syarikat yang layak mengumpul dana melalui pengeluaran token digital di Malaysia. Penerbit boleh mengumpul dana sehingga RM100 juta daripada pelabur runcit, sofistikated, serta pelabur mangkin, tertakluk kepada had pelaburan yang disediakan dalam Garis Panduan SC mengenai Aset Digital.

SC menjadi yang pertama mengawalselia equity crowd funding (ECF) di Asia Tenggara pada tahun 2015,[1] dan IEO dilihat bakal melancarkan pasaran modal Malaysia ke dalam era aset digital.

Namun minat daripada orang ramai kelihatan suram. Rata-rata orang ramai tak tahu apa-apa mengenai IEO, dengan tiada pendedahan kepada para pelabur dan sebarang perhatian daripada pihak media. Ada juga segelintir yang merasakan IEO adalah klon kepada ECF.

Jom kita berkenalan dengan IEO.

Apa Itu Tawaran Awal Bursa?

Secara ringkasnya, IEO adalah aset yang dikeluarkan secara persendirian dalam bentuk token digital. Perniagaan milik persendirian yang berkaitan dengan teknologi, boleh mengeluarkan token tersebut dan menjualnya kepada orang ramai bagi tujuan pengumpulan dana sehingga RM100 juta. Aktiviti ini hanya boleh dijalankan melalui operator IEO dengan pengawalseliaan yang rapi.

Anda mungkin terkejut apabila mengetahui nama IEO itu sendiri membawa maksud ia tidak melibatkan sebarang tukaran. Tiada satupun Tukaran Aset Digital (DAX) yang diluluskan oleh SC dibenarkan untuk menjalankan aktiviti IEO. Kita mungkin biasa dengar Initial Coin Offering (ICO), tetapi ianya sering dipandang negatif disebabkan penipuan atau scam yang berleluasa beberapa tahun yang lalu.

Nak mudah faham, IEO adalah seperti Initial Public Offering (IPO) – di mana sebuah syarikat ingin senaraikan saham syarikat mereka di pasaran terbuka seperti di Bursa Malaysia. Dalam konteks IEO, token digital digunakan berbanding saham.

Token Digital Bukan Saham?

Undang-undang negara menegaskan bahawa token digital bukanlah saham (ekuiti) mahupun hutang. [2] Ia juga bukan amanah saham.

Dalam erti kata lain, jangan meletakkan harapan untuk dapat dividen atau faedah apabila melabur ke dalam token digital ini. Anda juga tidak mempunyai hak untuk mengundi atau menghadiri mesyuarat agung tahunan seperti pemegang saham biasa.

Memandangkan IEO bukan hutang, anda tidak dianggap sebagai seorang pemberi hutang kepada syarikat yang mengeluarkan token tersebut kepada anda. Dengan mengandaikan token tersebut tidak didasari aset syarikat, anda tidak tahu keutamaan anda dalam pembayaran balik sekiranya syarikat tersebut gulung tikar.

Sekiranya token digital bukan saham, jadi apakah ia?

Ianya adalah sekuriti, yang ditetapkan di bawah Capital Markets and Services Act (CMSA) 2007 sebagai saham, debentur atau amanah saham, atau “sebarang hak, pilihan atau manfaat”.

Wajar untuk anda anggap token ini sebagai kontrak pelaburan. Apakah aset pendasar bagi wang anda, bagaimana ianya diwakili dan dijanjikan, apakah risiko terburuk yang boleh terjadi?

Adakah Produk Pelaburan Ini Sah?

Token digital adalah sah sebagai instrumen kewangan yang dikawalselia, dan ianya dikendalikan oleh pengendali pasaran yang diiktiraf dengan pemantauan oleh SC. Tetapi sah daripada segi undang-undang adalah perkara lain.

Ini kerana token digital bukanlah wang yang sah diperlakukan, kerana setiap token adalah berbeza. Apabila berlaku sebarang pertikaian, ianya perlu dibawa ke muka pengadilan sebelum boleh diputuskan.

Dalam kes pertama Luno Pte Ltd & Another v Robert Ong Thien Cheng, ianya telah diputuskan bahawa aset digital seperti Bitcoin boleh digunakan sebagai pertimbangan untuk memeterai kontrak di antara beberapa pihak. Nilai yang disandarkan terhadap aset digital adalah sama seperti bagaimana nilai disandarkan kepada saham.[3]

Siapa Yang Sesuai Untuk Melabur?

Walaupun pelabur runcit boleh melabur ke dalam IEO, tetapi ianya terhad kepada RM2,000 bagi setiap pengeluar dan jumlah RM20,000 dalam tempoh 12 bulan. Sekiranya Ali memilih Syarikat X, beliau boleh melabur maksima sebanyak RM2,000 ke dalam token mereka. Sekiranya beliau ada duit lebih, maka boleh melabur ke dalam syarikat lain pula.

Tujuan had ini diwujudkan adalah untuk melindungi pelabur runcit daripada melabur dengan jumlah yang tinggi ke dalam pelaburan yang berisiko. Sebaliknya bagi seorang pelabur sofistikated, tiada had yang dikenakan.

Boleh Ke Saya Jual Beli Token Digital?

Buat masa sekarang, IEO hanya ditawarkan di peringkat utama, iaitu di antara pengeluar dan pelabur. Tiada garis panduan daripada SC untuk membuka pasaran sekunder yang membolehkan jual beli berlaku di antara pelabur.

Platform IEO pun belum lagi bermula, maka perdagangan token takkan berlaku dalam masa terdekat. Ini bermakna pelabur tiada pilihan untuk melepaskan pegangan mereka di pasaran terbuka.

Melabur ke dalam IEO bermaksud kurang kecairan. Tiada lagi token baru yang akan dikeluarkan dan tiada lagi pelabur baru sebaik saja tawaran ditutup. Pelabur tidak boleh menebus token mereka daripada pengeluar, mahupun berharap agar berlakunya pembelian semula daripada pengeluar.

Walaupun token tersebut akan disenaraikan nanti, adakah pasaran kedua akan mempunyai ramai peminat? Siapa nak beli dari anda nanti?

Mengenai Penulis

Edmund Yong adalah rakan pengurusan Celebrus Advisory dan dilantik oleh MDEC sebagai sebahagian daripada Rangkaian Pakar Bakat bagi teknologi blockchain. Beliau juga merupakan perunding tetap untuk GLT Law, sebuah syarikat guaman yang telah menang pelbagai anugerah dengan kepakaran dalam aset digital. Semua pandangan adalah milik penulis.

Sumber:

[1] https://www.sc.com.my/resources/media/media-release/sc-introduces-regulatory-framework-to-facilitate-peer-to-peer-financing

[2] Capital Markets and Services (Prescription of Securities) (Digital Currency and Digital Token) Order 2019.

[3] Robert Ong Thien Cheng v Luno Pte & Another (Civil Appeal No. 12BNCVC-91-10-2018), Shah Alam High Court. 

Join our Telegram to get the latest from Smart Investor
Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Recent Posts

Related Posts

Smart Investor Newsletter

Get Our Latest Articles And More Delivered To Your Inbox!