Smart Investor Malaysia

Previous
Next

Apa Itu Hibah Takaful?

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Alhamdulillah, semakin ramai orang telah membuka mata tentang kepentingan mempunyai perlindungan. Saya percaya ramai di kalangan pembaca pasti pernah dengar istilah Hibah Takaful ini, tetapi apa itu hibah takaful?

Sebelum kita tengok dengan lebih mendalam mengenai apa itu hibah takaful, jom kita tengok dulu apa yang dimaksudkan dengan hibah, dan apa pula yang dimaksudkan dengan takaful.

Apa Itu Hibah?

Hibah adalah hadiah yang diberikan kepada penerima ketika beliau masih hidup dan berkuatkuasa serta-merta apabila hibah tersebut siap. Aset yang telah dihibahkan tidak dikira sebagai sebahagian daripada harta pemberi hibah dan terkecuali daripada Faraid.

Hibah digunakan untuk mengagih harta kepada penerima yang terpilih bagi mengelakkan pembahagian sebahagian daripadanya – sebagai contoh rumah. Ianya merupakan instrumen perancangan harta pusaka yang sesuai bagi sepasang suami isteri tanpa anak atau seorang saja anak perempuan, seorang muallaf yang baru memeluk Islam, atau sepasang suami isteri dengan anak yang masih kecil atau anak istimewa.

Pemilik perniagaan juga boleh pertimbangkan untuk menggunakan hibah sebagai pelan perancangan penggantian perniagaan bagi memastikan kelangsungan perniagaan tersebut. Membenarkan perniagaan dikendalikan oleh waris Faraid atau mereka yang kurang berpengalaman boleh menyebabkan pertikaian atau masalah dengan pengurusan syarikat.

Oleh itu, mengenal pasti calon yang sesuai untuk mengambil alih perniagaan adalah penting bagi memastikan peralihan pengurusan syarikat yang baik apabila anda meninggal dunia.

Baca: Takaful vs Insurans, Apakah Perbezaannya?

Apa Itu Takaful?

Image by jcomp on Freepik

Pada asasnya, Takaful adalah pilihan insurans yang patuh Syariah yang berlandaskan kepada prinsip Muamalat Islam. Takaful berkongsi objektif yang sama iaitu menawarkan perlindungan terhadap kerugian kewangan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti kemalangan, kerosakan terhadap hartanah, kemasukan ke hospital, penyakit kritikal, kehilangan upaya atau kematian.

Perkataan Takaful adalah berasal daripada perkataan Arab iaitu ‘Kafala’ yang bermaksud ‘untuk menjamin, untuk bantu, untuk menjaga keperluan seseorang’. Terma ini juga merujuk kepada konsep insurans Islamik yang berdasarkan prinsip Islam iaitu saling bantu-membantu (ta’awun) dan derma (tabarru’), di mana peserta Takaful menderma wang mereka ke dalam dana Takaful yang akan digunakan untuk memberi manfaat kewangan secara bersama-sama.

Sama seperti insurans, ada pelbagai produk patuh Syariah di bawah Takaful termasuklah keluarga, kesihatan, kenderaan, rumah, perjalanan dan macam-macam lagi jenis perlindungan.

Baca: Letak Isteri Sebagai Penama Takaful?

Apa Itu Hibah Takaful?

Dah ada sedikit gambaran tentang apa itu hibah dan apa itu takaful, sekarang kita kupas pula apa itu hibah takaful?

Hibah adalah hadiah. Takaful adalah insurans yang patuh Syariah. Gabungkan kedua-duanya, maka dapatlah hibah takaful.

Maka hibah takaful membawa maksud hadiah apabila seseorang itu ditimpa perkara yang tidak diingini seperti seperti kemalangan, penyakit kritikal, kehilangan upaya atau kematian. Ada di antara kita yang mungkin terselamat daripada kemalangan, penyakit kritikal atau kehilangan upaya, tetapi setiap daripada kita pasti akan merasai mati.

Ada yang mati ketika usia muda, ada yang meninggal dunia ketika sudah tua. Ada yang badan sihat, jarang sakit tapi tiba-tiba mati mengejut.

Jadi berbalik kepada konsep takaful, ianya menawarkan perlindungan terhadap kerugian kewangan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti kemalangan, kerosakan terhadap hartanah, kemasukan ke hospital, penyakit kritikal, kehilangan upaya atau kematian.

Dalam contoh kematian, ianya merujuk kepada jumlah wang yang diperlukan untuk menyediakan perbelanjaan yang cukup kepada waris, sepertimana mereka bergantung kepada pencari nafkah selama ini.

Wang tersebut perlu meliputi perbelanjaan untuk seluruh keluarga (sebaiknya sehingga anak bongsu mencapai umur 25 tahun atau pasangan yang tidak bekerja sehingga jangka hayatnya), yuran pendidikan dan kos-kos lain sehingga ke pengajian tinggi dan perlindungan Takaful untuk ahli keluarga. Ianya termasuk juga khairat kematian dan kos-kos pentadbiran harta pusaka untuk si mati.

“Sesungguhnya jika engkau meninggalkan waris engkau dalam keadaan kaya itu lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta kepada manusia.”

[Petikan daripada Hadis Sahih al-Bukhari]

Semoga anda kini sudah mendapat pencerahan tentang apa itu hibah takaful, oleh itu buatlah persediaan yang sewajarnya.

Jangan lupa baca Takaful: Di Antara Kemampuan Dan Keperluan, 6 Perkara Yang Perlu Dipertimbangkan

Join our Telegram to get the latest from Smart Investor
Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Recent Posts

Related Posts

Smart Investor Newsletter

Get Our Latest Articles And More Delivered To Your Inbox!

Are you sure want to unlock this post?
Unlock left : 0
Are you sure want to cancel subscription?