Smart Investor Malaysia

Previous
Next

7 Langkah Ke Arah Perancangan Kewangan Peribadi Yang Mantap

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Kita sering kaitkan perancangan kewangan peribadi dengan mereka yang kaya-raya. Hanya yang berduit saja boleh rancang kewangan mereka.

Adakah ini bermakna mereka yang tak kaya atau cukup-cukup makan saja, tak perlu membuat perancangan kewangan peribadi?

Jom kita hadam langkah-langkah yang boleh anda ambil bagi memastikan perancangan kewangan peribadi yang lebih mantap.

7 Langkah Perancangan Kewangan Peribadi Yang Mantap

1. Aliran Tunai Positif

Sebelum nak mula, pastikan aliran tunai berada dalam keadaan yang baik. Ada dua cara untuk memastikan aliran tunai anda positif, iaitu kurangkan perbelanjaan dan tingkatkan pendapatan.

Kita mungkin ada had bagi mengikat perut iaitu tak boleh nak berjimat lagi, tetapi kita boleh memperolehi pendapatan yang tanpa batas. Zaman sekarang bermacam-macam kerja kita boleh lakukan untuk mendapatkan side income.

2. Menyimpan

Bila aliran tunai dah positif, barulah ada duit lebih untuk menyimpan. Pastikan anda mempunyai simpanan sebanyak 3-6 bulan gaji sebagai dana kecemasan.

Rakyat Malaysia tidak mempunyai tabiat menyimpan, di mana kajian mendapati 75% daripada kita tidak mempunyai simpanan sebanyak RM1,000.

3. Lindungi Simpanan

Bila dah mulakan tabiat menyimpan setiap bulan sebaik saja dapat gaji, seterusnya kita perlu melindungi pula simpanan tersebut. Kita tidak boleh abaikan pengurusan risiko terhadap simpanan kerana ianya boleh melindungi simpanan kita sekiranya berlaku sebarang kerugian daripada segi kewangan.

Boleh mula dengan mengambil pelan Takaful seperti hibah atau penggantian pendapatan. Sekiranya berlaku perkara tidak diingini seperti kematian atau kemalangan sehingga membawa kepada kecacatan kekal, dapat juga pampasan bagi membantu keluarga yang tercinta.

4. Mula Melabur Walaupun Kecil

Sumber: Public Mutual. Pengiraan di atas adalah berdasarkan pulangan purata 8% setahun dan pelaburan dibuat pada setiap awal bulan.

Semua orang ingin jadi jutawan, tapi tahukah anda berapa anda perlu simpan dan labur setiap bulan?

Berdasarkan gambar di atas, anda boleh mula melabur dengan amaun yang kecil iaitu RM285 setiap bulan selama 40 tahun – dan jadi jutawan di usia 60 tahun.

Atau anda boleh melabur sebanyak RM13,520 sebulan selama lima tahun untuk mencapai angka yang sama.

Yang mana lebih mudah rasanya?

Lagipun sekiranya anda tidak mengamalkan tabiat melabur dari muda, maka semakin susah nak mula melabur apabila sudah meningkat usia.

5. Atasi Inflasi

Langkah seterusnya ke arah perancangan kewangan peribadi yang lebih baik adalah dengan mencari pelaburan yang mampu berikan pulangan yang lebih tinggi daripada inflasi secara konsisten. Kita tidak nafikan bahawa pasaran ada naik dan turunnya, tetapi sekiranya anda boleh melabur ke dalam instrumen yang memberikan pulangan yang mengatasi inflasi, itu adalah sebaiknya.

Sumber: Jabatan Statistik Malaysia

Paras inflasi di Malaysia mencatatkan 4.4%, iaitu paras tertinggi sepanjang tahun 2022. Harga makanan yang naik mendadak adalah punca utama kadar inflasi meningkat naik.

Sekiranya subsidi di Malaysia ditarik balik, kadar inflasi mungkin naik lebih tinggi mencecah dua angka.

Namun dengan kadar faedah yang dinaikkan secara perlahan-lahan, kadar inflasi dijangka turun di masa hadapan dan menjadi lebih stabil.

Sama juga halnya dengan pulangan pelaburan. Ada tahun ianya boleh mencecah 10%, ada tahun ianya boleh jadi negatif. Asalkan purata pulangan pelaburan adalah lebih tinggi daripada kadar inflasi, itu adalah sebaiknya.

Lagi teruk sekiranya anda membiarkannya di dalam akaun simpanan, lambat laun ianya akan dimakan inflasi.

6. Mantapkan Ilmu Pelaburan

Sementara anda membina kekayaan anda dengan menyimpan dan melabur, jangan lupa untuk terus belajar tentang ilmu pelaburan.

Ini kerana terdapat banyak skim-skim cepat kaya mahupun scammer yang mahu ‘curi’ duit anda, atau menyebabkan kita membuat pelaburan yang merugikan, sehingga mengakibatkan kita kerugian besar atau terlepas peluang keemasan.

Dengan adanya ilmu yang mantap mengenai pelaburan, maka anda mampu untuk melakukan ‘due diligence’ sebelum nak melabur ke dalam mana-mana instrumen pelaburan.

Yang lebih penting lagi, anda perlu kenal diri anda sendiri dan risiko yang sanggup anda ambil.

7. Perancangan Kewangan Bukan Untuk Mereka Yang Kaya Saja

Yang terakhir sekali, tidak kira sama ada T20, M40 atau B40, dapatkan khidmat nasihat mengenai perancangan kewangan daripada mereka yang pakar. Golongan profesional ini boleh bantu anda membuat perancangan kewangan yang holistik, daripada segi duit masuk, ke mana ianya dibelanjakan, ke mana ianya patut dilaburkan, sehingga ke tahap merancang harta pusaka dengan melakukan hibah atau wasiat.

Mereka ini tidak menjual produk, sebaliknya mencadangkan yang terbaik untuk anda dan keluarga anda.

Ada juga yang ingatkan perancangan kewangan ini bermaksud anda perlu jadi kedekut sehingga mengikat perut.

Tetapi mereka akan mencadangkan pelan yang terbaik untuk anda mengejar impian kewangan anda. Anda fokus kepada pekerjaan dan mencari pendapatan, biarkan mereka ini merancang kewangan anda.

Itulah dia langkah-langkah yang anda boleh buat untuk perancangan kewangan peribadi yang lebih mantap.

Join our Telegram to get the latest from Smart Investor
Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Recent Posts

Related Posts

Smart Investor Newsletter

Get Our Latest Articles And More Delivered To Your Inbox!

Are you sure want to unlock this post?
Unlock left : 0
Are you sure want to cancel subscription?