Smart Investor Malaysia

Previous
Next

3 Tips Pelaburan Untuk Anak Muda Sempena Tahun Baru

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Alhamdulillah, kita telah pun berjaya melangkah ke tahun 2023. Setiap kali masuk tahun baru, pasti ianya datang dengan semangat dan azam baru.

Jom kita tengok 3 tips pelaburan untuk anak muda tersebut.

Baca: Pelaburan Terbaik 2023: Menjelang Kegawatan Ekonomi

Tips Pelaburan Untuk Anak Muda#1: Rule of 72

Tips pelaburan untuk anak muda yang pertama, kita kena fahamkan dulu apa yang dimaksudkan dengan Peraturan 72 ini. Ianya merupakan cara mudah untuk kira berapa lama diperlukan untuk duit kita berganda.

Contohnya kita ada duit sebanyak RM10,000, berapa lama masa yang diperlukan untuk ianya berganda menjadi RM20,000?

Kiraannya mudah saja, kita ambil berapa peratus pulangan tahunan dan kemudian bahagi dengan nombor 72.

Sebagai contoh, ASB bagi pulangan sekitar 5% setahun?

72 / 5 = 14.4

Maka, jika ASB mampu beri pulangan konsisten sebanyak 5% setahun, duit kita akan berganda menjadi RM20,000 dalam masa 14.4 tahun.

Pulangan 5% setahun sedikit? Kenalah teroka peluang instrumen pelaburan yang lain. Tapi kena ingat konsep ‘high risk high return’.

Sekiranya anda nak pulangan yang lebih tinggi, anda perlu berdepan dengan risiko yang lebih tinggi.

Saham boleh beri keuntungan 30% sehari, tapi sanggupkah anda untuk berdepan dengan kerugian 30% sehari?

Baca: 5 Pelaburan Mudah Di Malaysia Yang Anda Boleh Mula Sekarang

Tips Pelaburan Untuk Anak Muda#2: Pelaburan Gaya Pengurus Bola Sepak

Demam World Cup baru saja reda, di mana Argentina dinobatkan sebagai juara. Apa yang dimaksudkan dengan melabur gaya pengurus bola sepak ni?

Tetapi sebelum kita lihat tips pelaburan untuk anak muda kedua ini, kita mesti tahu sekiranya nak bermain bola sepak, kita perlu ada sebuah pasukan? Perlu ada penjaga gol, pemain pertahanan, pemain pertengahan dan penyerang?

Tips pelaburan untuk anak muda seterusnya, kita perlu ada portfolio yang seimbang. Jom kita lihat apabila ianya diterjemahkan kepada pasukan bola sepak:

Penjaga Gol

Tugasnya adalah menjaga gawang dan jangan bagi bolos. Cari pelaburan yang ‘takkan’ rugi, sekiranya kita melabur sebanyak RM1,000, modal tersebut tetap akan kekal RM1,000 walaupun kegawatan ekonomi berlaku.

Ada tak instrumen sedemikian?

Ya, kita ada Amanah Saham Bumiputera (ASB), Tabung Haji, simpanan tetap dan bermacam-macam lagi.

Bila pasaran tak berapa nak baik, dapat pulangan 4% pun dah OK. Tapi apabila pasaran menaik, kita boleh dapat pulangan yang lebih tinggi. Asalkan tak rugi.

Pemain Pertahanan

Tugasnya adalah menolong penjaga gol daripada dibolosi, tapi pada masa yang sama kalau ada peluang untuk membantu bahagian serangan, silakan.

Cari pelaburan yang sedikit berisiko, tidak mengapa sekiranya rugi sedikit, tetapi ada potensi untuk beri pulangan yang cantik apabila pasaran baik.

Rugi sedikit 5% masih boleh diterima, tetapi perlu pastikan apabila pasaran naik, pulangannya boleh mencecah 10%.

Apa contoh instrumen pelaburan yang bersifat pertahanan?

Kita ada unit trust, amanah saham yang tak berharga tetap RM1 seunit, kaunter saham yang beri dividen secara konsisten. Kita sebenarnya ada banyak pilihan saham bluechip yang fundamental kuat dan kalis gawat, atau boleh tengok juga REITs (real estate investment trust)

Baca: Pelaburan REITs: 5 Sebab Anda Perlu Melabur REIT

Tapi kalau anda tak boleh tengok portfolio merah langsung, boleh jadikan goalkeeper tadi 2-dalam-1 merangkap pertahanan juga.

Pemain Pertengahan

Sampai bila kita nak bertahan? Kerana dalam bola sepak kita perlu juga jaringkan gol agar pasukan kita menang.

Nak jaringkan gol kena menyerang. Tapi apabila melakukan serangan, ada potensi pihak lawan pula yang jaringkan gol. Maka kena ambil risiko sedikit.

Sama juga halnya kalau pulangan setakat 5% saja setahun, nak gandakan duit kita perlu tunggu 14.4 tahun. Sampai bila nak kaya?

Sebab itu kita perlu melabur sedikit ke dalam instrumen yang boleh beri pulangan yang tinggi, tetapi ada risiko.

Tetapi kita perlu bersedia kerana apabila pasaran tak berapa nak baik, pulangan akan jadi negatif. Bila pasaran naik, pulangan akan jadi lebih.

Yang penting kita kekal melabur, jangan setahun dah rugi kita berhenti ‘menyerang’. Cuba tengok balik sejarah, market lebih banyak naik atau lebih banyak merudum?

Pemain Penyerang

Pemain yang paling disegani dan yang paling mahal dalam mana-mana pasukan. Ini kerana seorang penyerang akan dinilai berdasarkan berapa banyak gol yang dijaringkan.

Di dalam dunia pelaburan yang ‘high risk high return’, instrumen sebegini lebih banyak tak jadi daripada jadi.

“90% of traders lose 90% of their money in 90 days”

Mengikut statistik, lebih ramai orang yang rugi dalam dunia trading berbanding yang untung. Dan kita tak perlu untuk menang setiap kali pun, kita hanya perlu menang sesekali dan yang untung itu adalah yang ‘home run’ atau memberi keuntungan yang luar biasa.

Sekelip mata boleh jadi kaya. Dalam dunia kripto, ada istilah ‘Wen lambo’ dan ‘To the moon’.

Ada yang dah jadi kaya-raya dan beli pulau dan kemudian bersara. Ada juga yang dah kaya, kemudian jadi kayap semula. Masih ingat Terra Luna dan FTX?

Jadi kenalah beringat, naik cepat turun pun cepat.

Selain daripada kripto dan saham, pasaran futures pun tergolong di dalam kategori ini. Di Malaysia, hanya ada satu instrumen yang patuh syariah iaitu FCPO (Crude Palm Oil Futures) atau Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah, di mana kita berdagang minyak kelapa sawit. Yang bestnya tentang market futures ni, harga naik pun boleh untung, harga jatuh pun boleh untung.

Baca: Adakah Pelaburan Risiko Tinggi Sesuai Untuk Saya?

Tips Pelaburan Untuk Anak Muda#3: 4% Drawdown

Tips pelaburan untuk anak muda yang terakhir, kita semua nak pencen awal kan? Tapi berapa banyak yang diperlukan sebenarnya untuk bersara dengan tenang?

Ramai orang impikan nilai sejuta, tapi cukup ke? Nak tahu berapa jumlah yang anda perlukan, boleh guna kaedah 4% ini.

Jom kita buat kira-kira sikit.

Katakan anda nak bersara kelak dengan duit belanja sebanyak RM5,000 sebulan. Cukuplah nak makan tiga kali sehari, nak pergi jalan-jalan seminggu sekali, nak melancong keluar negara setahun sekali.

Maka kita perlu ada dana persaraan yang cukup besar, untuk berikan pulangan 4% setahun yang bersamaan dengan RM60,000 setahun atau RM5,000 sebulan.

Formulanya:

Duit belanja sebulan * 12 bulan * 4%

Dalam contoh di atas:

RM5,000 * 12 bulan = RM60,000

RM60,000 / 4% = RM1,500,000

Maka anda perlu ada dana sebanyak RM1.5 juta yang dilaburkan ke dalam instrumen yang dapat beri pulangan 4% setahun secara konsisten. Maka dapatlah RM60,000 setahun atau RM5,000 sebulan.

Ada tak pelaburan yang boleh beri pulangan 4% setahun?

Jawapannya banyak sangat.

Kita hanya gunakan duit hasil daripada dividen saja, modal asal tak terusik.

Bila dah pencen nanti, hutang rumah dah langsai, hutang kereta pun dah habis bayar, maka gunalah wang tersebut sebaiknya. Jangan pula pergi buat hutang baru, memang kena kerja sampai mati pula nanti.

Sekiranya anda meninggal dunia, dapat pula kepada waris anda. Tak sia-sia kerja keras sepanjang hidup, kerana keluarga anda dapat duit yang banyak.

Tapi kena ingat, duit RM5,000 hari ini tak sama dengan duit RM5,000 lagi 20 tahun akan datang.

Teh tarik dulu masih boleh dapat dengan harga RM1, sekarang dah berapa?

Roti canai dulu 70 sen boleh dapat, sekarang naik kepada RM1.50.

Jadi fikirkan berapa angka yang anda inginkan, faktorkan sekali inflasi, kemudian melaburlah dengan gaya bola sepak.

Semoga tips pelaburan untuk anak muda ini bermanfaat.

Baca: Pelaburan Patuh Syariah Terbaik, Di Mana Nak Melabur?

Join our Telegram to get the latest from Smart Investor
Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
Previous
Next

Recent Posts

Related Posts

Smart Investor Newsletter

Get Our Latest Articles And More Delivered To Your Inbox!